Skype jadi penghubung banduan penjara Kelantan dengan insan tersayang
Bernama
Jun 4, 2020 19:05 MYT
Jun 4, 2020 19:05 MYT
Aplikasi 'Skype' menjadi jambatan normal baharu bagi menghubungkan banduan di Penjara Kelantan dengan insan tersayang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lepas.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata pihaknya mula menggunakan aplikasi itu di Penjara Pengkalan Chepa seminggu setelah PKP dilaksanakan pada 18 Mac lepas.
"Cara ini dilihat lebih berkesan dan terbaik untuk menghubungkan banduan dengan keluarga mereka bagi memastikan kita patuh pada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Penjara Pengkalan Chepa selepas menjalankan tinjauan proses pertemuan dalam talian melibatkan banduan dan keluarga yang turut dihadiri Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mat berkata setiap banduan diberikan masa selama 45 minit bagi setiap satu sesi Skype bersama keluarga dan perjumpaan secara maya itu bergantung pada tahap kualiti capaian internet yang digunakan kedua-dua pihak.
Mat berkata kaedah pertemuan maya antara banduan dan ahli keluarga mereka juga diguna pakai di Pusat Pemulihan Akhlak Machang dan Pusat Re-Integrasi Penghuni Kem Desa Pahlawan yang di bawah seliaan Jabatan Penjara bagi menggantikan perjumpaan yang biasanya dibuat di pusat itu seperti kebiasaannya.
Beliau berkata bagaimanapun perjumpaan di alam maya itu tetap mempunyai cabarannya tersendiri terutamanya apabila pihak keluarga banduan tidak memiliki pautan atau peranti yang sesuai untuk digunakan.
"Pihak penjara tetap mempunyai inisiatif sampingan iaitu melalui panggilan telefon Myphone dan 'wartel' yang boleh menghubungkan banduan dengan keluarga mereka.
Secara keseluruhannya kita sediakan 10 telefon untuk kaedah ini di seluruh negeri dan dua peranti untuk setiap blok terutama bagi keluarga yang mempunyai masalah talian internet," katanya.
Mat berkata inisiatif ini dapat membantu memulihkan semangat banduan untuk terus menjalani rawatan dan pemulihan di dalam penjara.
Sementara itu, seorang banduan yang mahu dikenali sebagai Abu, berusia 30-an, yang dipenjarakan atas kesalahan samun berkumpulan berkata aplikasi Skype memberi satu kelainan dan memudahkan kedua-dua pihak untuk melepaskan rindu dan berkomunikasi dengan keluarga walaupun dalam tempoh PKP.
"Saya dipenjarakan sejak 2009 dan memang tidak biasa dengan teknologi canggih seperti ini. Alhamdulillah, dengan adanya cara ini, saya dapat berhubung dengan ayah dan adik saya yang berada di Kuala Lumpur," katanya.
-- BERNAMA