Skuad Waja perlu jadi mata dan telinga komuniti - Nancy

Bernama
Februari 17, 2024 16:57 MYT
Nancy berkata, keganasan terhadap wanita merupakan isu sejagat yang berlaku di seluruh dunia dan mangsa sering kali memilih untuk tidak melaporkan kekerasan. - Gambar fail
KUCHING: Skuad Waja harus menjadi mata serta telinga dalam komuniti terutamanya dalam isu keganasan terhadap wanita, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata keganasan terhadap wanita merupakan isu sejagat yang berlaku di seluruh dunia dan mangsa sering kali memilih untuk tidak melaporkan kekerasan dialami kerana takut kepada pelaku serta tekanan sosial daripada keluarga atau rakan.
Katanya kebanyakan kes keganasan dilakukan oleh individu dikenali mangsa, seperti suami, bekas suami atau teman lelaki dan banyak yang tidak dilaporkan akibat dianggap sebagai masalah keluarga atau peribadi.
"Oleh sebab itu, Skuad Waja perlu menjadi mata dan telinga kepada rakan-rakan dan jiran kita. Kita perlu peka sekiranya kita dengar jiran sebelah rumah bergaduh misalnya.
"Sebelum ini kita selalu dengar jangan jaga tepi kain orang tetapi sekarang kita perlu lakukan itu untuk membantu mereka yang memerlukan...ini bukan bermakna kita penyibuk," katanya semasa berucap pada program Semarak Skuad Waja Sarawak di sini, hari ini.
Skuad Waja merupakan inisiatif sukarelawan yang ditubuhkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) bagi memperkasakan komuniti dengan menyediakan bimbingan psikososial dan melaksanakan aktiviti komuniti.
Program ini merangkumi pelbagai aspek seperti kesejahteraan, kepimpinan, keselamatan dan ekonomi untuk meningkatkan kesedaran tentang jenayah terhadap wanita.
Sejak penubuhan Skuad Waja pada 2021 hingga Disember 2023, terdapat 329,221 ahli. Bagi negeri Sarawak sahaja, terdapat 2,919 ahli Skuad Waja.
-- BERNAMA
#Skuad WAJA #Nancy Shukri #keganasan #kekerasan terhadap wanita #tekanan sosial
;