Skuad lawan pedang optimis cipta kejutan di Kemboja

Bernama
April 14, 2023 17:20 MYT
Jurulatih kebangsaan tidak menolak kemungkinan skuad lawan pedang Malaysia berpotensi mencapai kejayaan lebih hebat daripada yang disasarkan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kem lawan pedang negara optimis mampu mencipta kejutan menamatkan penantian lebih satu dekad merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja yang dijadual berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.
Walaupun sasaran sebenar ditetapkan di Kemboja adalah empat gangsa, jurulatih kebangsaan, Yu Peng Kean tidak menolak kemungkinan Malaysia berpotensi mencapai kejayaan lebih hebat terutama selepas hampir mengakhiri kemarau 12 tahun pingat emas pada edisi lepas di Hanoi, Vietnam.
Menurut bekas atlet kebangsaan, yang pernah membuat penampilan di Sukan Olimpik London 2012 itu, dua atlet senior, Hans Yoong, yang akan beraksi dalam acara foil dan Joshua Koh (epee), yang masing-masing berpangkalan di Amerika Syarikat dan Itali antara yang berpeluang mencipta sensasi.
"Saya rasa mampu (dapat emas) sebab jika dibandingkan dengan Sukan SEA edisi lepas, kita nyaris dapat. Kali ini dengan persiapan yang lebih cukup saya yakin dengan atlet senior kita seperti Hans Yoong dan Joshua Koh, mereka harapan terbaik dan boleh mencipta kejutan.
"Pasukan sabre juga walaupun semua atlet muda tetapi saya yakin mereka akan buat yang terbaik. Saya sentiasa kongsi ilmu dan pengalaman dengan mereka kerana mahukan kem negara capai kejayaan membanggakan," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), di Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Beliau berkata pasukan sabre yang dibarisi empat atlet baharu menunjukkan peningkatan prestasi selepas menjalani latihan intensif selama sebulan di Busan, Korea Selatan, dari 8 Mac sehingga 8 April.
Sementara itu, Isaac Seet, yang akan membuat penampilan sulung di Sukan SEA, berharap dapat membuktikan kebolehannya dalam acara epee individu lelaki dan epee berpasukan lelaki.
"Musuh ketat kami adalah Vietnam...mereka mempunyai peserta Olimpik dan pemenang emas Sukan SEA tetapi saya percaya kami masih muda dan kuat untuk melakukan beberapa kejutan.
"Saya baru pulang dari Ho Chin Minh, Vietnam ,baru-baru ini untuk berlatih dengan pasukan Sukan SEA mereka juga dan saya dapat melihat sedikit prestasi mereka dan saya percaya kami masih mempunyai peluang," katanya.
Pada Sukan SEA Kemboja, kem lawan pedang negara yang dibarisi 14 atlet akan mengambil bahagian dalam acara foil individu lelaki dan wanita; foil berpasukan lelaki; epee individu dan berpasukan lelaki; sabre berpasukan lelaki dan sabre individu wanita.
Kali terakhir Malaysia membawa pulang emas di temasya sukan dwitahunan itu adalah pada edisi 2011 di Jakarta menerusi acara sabre berpasukan lelaki dan epee individu lelaki.
-- BERNAMA
#lawan pedang #Sukan SEA #skuad negara #sasaran pingat
;