Skuad APEC beri pendidikan, promosi APEC 2020
Najmi Syahiran Mamat
Februari 12, 2020 19:15 MYT
Februari 12, 2020 19:15 MYT
SERDANG: Sekitar 12,000 peserta dijangka bakal terlibat dan menerima manfaat daripada penganjuran program sampingan, Skuad APEC 2020 atau ‘pocket program’ seiring berlangsungnya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.
Menurut Ketua Jawatankuasa Kerja Komunikasi Sekretariat Kebangsaan APEC 2020, Norhayati Abd Manaf, program sampingan itu bertujuan mendekati dan memberi penerangan kepada orang ramai berhubung peranan Malaysia selaku tuan rumah kepada penganjuran APEC tahun ini.
Malah, katanya sepanjang tiga dekad penganjuran, ini adalah kali pertama konsep ‘pocket program’ diadakan di semua empat negeri di mana berlangsungnya penganjuran siri mesyuarat.
“Selepas keenam-enam pocket program ini, pada bulan April kami akan berada di Sabah selama dua minggu, pada Jun pula kami akan berada di Pulau Pinang dan berakhir di Putrajaya dan Kuala Lumpur pada November.
“Sebagai salah satu initipati APEC adalah kemakmuran bersama, jadi kami ingin merealisasikan perkongsian ini melalui aktiviti-aktiviti sebegini,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.
Berkonsepkan pendidikan kepada masyarakat, salah satu insiatif yang diterapkan menerusi program ini adalah mengenalkan ciri serta budaya anggota ekonomi APEC kepada orang ramai.
“Kita membawa trak makanan ini untuk edaran makanan secara percuma mengikut tema ekonomi APEC.
“Sebagai contoh, kami menyediakan sushi, makanan dari negara Jepun yang merupakan salah sebuah anggota APEC,” tambahnya.
Jelas Norhayati lagi, universiti menjadi lokasi pilihan lantaran institusi itu melahirkan modal insan yang bakal menjadi pelaksana kepada inisiatif serta matlamat pasca APEC 2020.
“Kita memilih universiti kerana golongan yang ada di sini kawasan adalah masa depan untuk Malaysia.
“Ia adalah penting untuk mereka tahu apakah itu APEC kerana hasil daripada mesyuarat APEC atau pasca Matlamat Bogor 2020 akan dilaksanakan oleh golongan muda sekarang,” jelasnya.
Antara pengisian menarik sepanjang program ini berlangsung adalah aktiviti-aktiviti berbentuk interaktif, kuiz serta edaran makanan percuma.
Bagi siri jelajah pertama yang bermula hari ini, ia berlangsung di dua lokasi iaitu Sunway University, Subang Jaya dan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
Ia bakal diikuti di Tamarind Square, Cyberjaya dan Dataran Putra, Putrajaya pada 15 Februari manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 19 Februari.
Rakan rasmi kepada penganjuran APEC 2020 adalah Celcom, MAS, Proton, Perodua dan Grab.
Orang ramai boleh melayari laman web rasmi di laman mikro Astro AWANI dan platform media sosial rasmi MyAPEC2020 bagi mendapatkan perkembangan terkini sepanjang siri jelajah Skuad APEC 2020 ini berlangsung.
#APEC 2020
#Asean Pacific Economic Cooperation
#Jepun
#Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik APEC 2020
#Kuala Lumpur
#Norhayati Abd Manaf
#pendidikan
#Perodua
#Proton
#Skuad APEC
#sunway university
#UiTM
#Universiti Putra Malaysia