SKSSR: Perlu beri peluang kepada suri rumah 55 tahun ke atas - Gerakan

Astro Awani
Februari 13, 2023 18:46 MYT
Puvaniten berkata, golongan suri rumah berusia lebih 55 tahun kecewa kerana mereka tidak dapat mendaftar skim berkenaan untuk mendapatkan manfaatnya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022 perlu turut dibuka kepada golongan wanita berumur 55 hingga 70 tahun.
Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, Puvaniten M Helan Govan, berkata skim SKSSR yang merangkumi Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya kekal, elaun keuzuran, faedah pengurusan mayat dan pencen penakat tidak harus terbatas kepada golongan bawah 55 tahun.
“Saya meminta Kementerian Sumber Manusia dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengkaji semula batasan umur yang diletakkan di dalam skim ini sebagai syarat pendaftaran.
"Saya percaya bahawa kategori umur ini lebih memerlukan bantuan daripada kerajaan khususnya dari segi aspek kesihatan.
"Ini amat penting bagi membangunkan jaringan keselamatan sosial yang komprehensif dan inklusif serta menyeluruh di kalangan suri rumah secara keseluruhan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Puvaniten berkata, golongan suri rumah berusia lebih 55 tahun kecewa kerana mereka tidak dapat mendaftar skim berkenaan untuk mendapatkan manfaatnya.
"Kalau kita lihat skim keselamatan swasta, ia menawarkan skim yang merangkumi umur sehingga 70 tahun. Sepatutnya skim ini harus ditingkatkan lingkungan umur.
“Kita tidak mahu mana-mana pihak terpinggir di dalam skim keselamatan ini. Faktor umur adalah satu faktor utama untuk seseorang suri rumah yang mengambil skim keselamatan ini.
"Sebagai benteng kepada keluarga, wanita yang melaksanakan urusan rumah tangga dan penjagaan ahli keluarga juga terdedah kepada kecederaan dan penyakit.
"Mereka berhadapan dengan pelbagai risiko, seperti kemalangan domestik dan keilatan, yang memerlukan sokongan kewangan, penjagaan dan bantuan kebajikan apabila musibah berlaku," katanya.
Perkeso melaksanakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) mulai 1 Disember lalu, sejajar dengan matlamat menyediakan dan membangunkan keselamatan sosial yang komprehensif serta inklusif di Malaysia.
SKSSR menyediakan perlindungan kepada golongan suri rumah apabila berhadapan bencana pekerjaan dan keilatan sewaktu melakukan urusan rumah tangga, selain merupakan pengiktirafan kepada penglibatan mereka dalam 'Care Economy' serta pembangunan institusi keluarga.
Menurut Perkeso, pelaksanaan SKSSR yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) itu menjadikan Malaysia antara empat negara di dunia yang menyediakan perlindungan sosial khusus bagi golongan wanita dalam pelbagai bentuk skim dan faedah.
Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed, dilapor berkata, skop "suri rumah" di bawah akta itu adalah luas kerana ia terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak, merangkumi isteri, janda atau balu, ibu tunggal dan wanita bujang yang berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa.
"Suri rumah yang layak hanya perlu membuat bayaran caruman RM120 setahun secara 'in advance' bagi menerima perlindungan selama 12 bulan berturut-turut, serta memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan menerima faedah," katanya.
Beliau berkata untuk mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR, suri rumah mestilah warga Malaysia atau pemastautin tetap yang berumur kurang daripada 55 tahun.
#SKSSR #Suri Rumah #perkeso #GERAKAN
;