Skor Indeks Belia Malaysia harus dipertingkat - Ahmad Zahid
Bernama
Mac 20, 2023 20:27 MYT
Mac 20, 2023 20:27 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu skor Indeks Belia Malaysia dipertingkat menerusi pelaksanaan pelbagai program untuk golongan itu.
Beliau berkata ini kerana pencapaian skor indeks itu pada tahun lepas adalah lebih rendah iaitu pada 58.4 peratus berbanding 60.31 peratus pada 2021.
"Skor yang kurang ada kaitan dengan penurunan kesedaran serta komitmen belia terhadap aktiviti politik, kenegaraan dan demokrasi biarpun kesedaran politik pada hakikatnya sudah berubah dalam Pilihan Raya Umum pada November 2022.
"Kita lihat usaha menaikkan skor mesti dipertingkat terutama dalam bidang ketatanegaraan serta demokrasi dan dalam hal ini, kita mahu lihat keterlibatan belia," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia Bil. 1/2023 di bangunan Parlimen hari ini.
Indeks Belia Malaysia dibangunkan bagi memantau perkembangan kesejahteraan hidup generasi itu di negara ini dan ia akan menjadi penanda aras dalam mengukur sejauh mana pencapaian tahap kesejahteraan hidup mereka sama ada berlaku peningkatan atau penurunan daripada nilai skor yang diperoleh.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan keterlibatan Kementerian Belia dan Sukan dengan kementerian lain bagi meneliti serta menyelaras semua program dan inisiatif untuk golongan itu secara bersama.
Turut dibincangkan ialah perancangan masa depan 2.64 juta pekerja gig melalui program upskilling serta reskilling dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional supaya memiliki kemahiran dalam bidang tertentu selain cadangan rumah transit untuk golongan belia supaya mereka tidak menjadi kumpulan gelandangan.
-- BERNAMA