SKoD Kemas bakal perkasa 182 Parlimen di luar bandar

Adie Sufian Zulkefli
April 23, 2022 23:55 MYT
Mahdzir menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan kepada penerima asnaf miskin pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kemas dan masyarakat setempat di Pusat Komuniti Padang Kerasak, 23 Apr 2022. --fotoBERNAMA
PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melaksanakan program Sahabat Komuniti Desa (SKoD) di 182 kawasan Parlimen yang berada di luar bandar bermula tahun ini.
Menurut Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, program di bawah penyelarasan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu dilaksanakan bagi menggerakkan aktiviti sukarelawan.
Beliau berkata, SKoD merupakan Kumpulan Tindakan Komuniti yang berperanan seperti Komuniti Rukun Tetangga.
Penyertaan dalam SKoD adalah secara sukarela dan terbuka, membabitkan penghulu, ketua kampung, institusi kepimpinan komuniti, jawatankuasa masjid, surau serta orang awam.
"Peranannya ada kaitan dengan keselamatan, kebajikan penduduk setempat.
"Saya harap ia akan menjadi salah satu daripada program komuniti yang baik, yang boleh diketengahkan oleh pihak penghulu mukim atau ketua kampung.
"Dan ia akan memberi manfaat secara menyeluruh kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kampung-kampung," katanya selepas menghadiri Majlis Komuniti Sejahtera dan Iftar Bersama Warga Kemas di Pusat Komuniti Padang Kerasak, malam tadi.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin dan Pegawai Daerah Padang Terap Datuk Ghani@Zulkifli Zainuddin.
Jelas Mahdzir, SKoD disasarkan akan dianggotai sekurang-kurangnya 15 ahli bagi setiap kampung, secara sukarela dan tanpa sebarang bayaran keahlian.
Katanya, antara pengisian program SkoD termasuk aktiviti kesedaran kesihatan, amalan gaya hidup sihat dan program menangani isu keselamatan serta kebajikan penduduk kampung.
Selain itu, program ke arah memupuk semangat patriotisme seperti sambutan Hari Kebangsaan dan kebesaran Islam.
Justeru, beliau berharap melalui program ini ia mampu melahirkan generasi pelapis yang akan menjadi barisan kepimpinan dalam kalangan penduduk kampung.
#sukarelawan luar bandar #Mahdzir Khalid #Sahabat Komuniti Desa #kebajikan penduduk