'SKMM, tolong kerja lebih sikit banteras judi online' - PPIM
Wan Syamsul Amly
September 8, 2015 15:24 MYT
September 8, 2015 15:24 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta lebih tegas dan bekerja tidak sambil lewa dalam menangani isu melibatkan laman web perjudian haram dalam negara.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata pihak berkenaan juga perlu mencari jalan dalam membanteras penyebaran judi dalam talian yang menyebabkan peningkatan masalah sosial dalam masyarakat.
"Ia kini seolah-olah tidak boleh dikawal lagi. Semakin ramai ahli masyarakat kita yang terlibat dalam isu judi ini.
"Kami cadang SKMM buat syarat baharu terhadap kawalan bukti transaksi yang ingin dibuat. Apakah ia melibatkan judi dalam talian atau perkara lain yang lebih berfaedah," katanya semasa sidang media berhubung judi dalam talian di pejabatnya di sini hari ini.
Nadzim mengulas isu peningkatan laman web perjudian haram terutama di aplikasi sosial seperti WeChat dan BeeTalk.
Sebelum ini, SKMM memaklumkan sudah melaksanakan sekatan ke atas 301 laman web perjudian haram bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Tegas agensi itu, ia adalah sebahagian daripada 940 permohonan untuk menyekat akses perjudian dalam talian yang dikemukakan pihak berkuasa seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Dalam pada itu, kata Nadzim, PPIM juga menerima pelbagai aduan melibatkan perjudian web daripada masyarakat.
"Kita terima aduan hampir setiap hari. Bukan hanya satu, tetapi berpuluh aduan.
"Kita harap SKMM dapat menimbang cara paling sesuai atau langkah mengawal perjudian ini. Seharusnya ada kaedah yang lebih berkesan atau sistem yang dapat menutup kasino dalam talian sebegini," ujarnya.
Sebelum ini Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata pihaknya telah mengenal pasti penyedia perkhidmatan yang membenarkan operator judi mempromosikan aktiviti itu secara dalam talian.
Jelasnya, siasatan mendapati perkhidmatan yang membolehkan penjudi menerima tawaran berjudi melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) itu dilakukan orang tempatan menggunakan peralatan khas.