SKMM sedia bantu pihak polis jika diminta - Gobind
Azyyati Ahmad
Jun 13, 2019 22:57 MYT
Jun 13, 2019 22:57 MYT
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bersedia memberikan kerjasama kepada pihak polis sekiranya diminta untuk membantu siasatan susulan penyebaran video seks mirip seorang menteri Kabinet.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata setakat ini beliau belum pasti adakah SKMM telah diminta berbuat demikian oleh pihak polis.
“Laporan-laporan polis telah dibuat, bagi saya perkara ini di dalam siasatan polis sekarang, saya biarkan polis menentukan fakta-fakta terlebih dahulu dan membuat siasatan.
"Dalam masa yang sama sekiranya polis meminta SKMM untuk beri bantuan sudah tentu SKMM akan membantu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini pihaknya tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan memandangkan isu berkenaan kini di bawah siasatan polis.
“Saya perlu semak dengan SKMM, adakah mereka ada menerima permintaan dari pihak polis, sekiranya ada, kenyataan boleh dikeluarkan SKMM dalam sehari dua ini, tetapi adalah penting bagi saya menentukan fakta sebelum saya mengatakan sesuatu," jelasnya.
Beliau berkata pihaknya juga sedia maklum bahawa beberapa kumpulan WhatsApp didirikan untuk warga media dan golongan tertentu dalam penyebaran video berkenaan.
“Saya dimaklumkan banyak kumpulan WhatsApp didirikan atas tujuan-tujuan tertentu, tetapi seperti saya katakan, elok saya jangan komen mengenai perkara ini kerana ia sudah berada di bawah siasatan polis,” katanya.
Beliau juga mengutuk tindakan penyebaran video berkenaan demi kepentingan tertentu dan sepatutnya tidak dilakukan dalam apa jua cara.
Beliau berkata demikian ketika ditemui majlis jamuan hari raya DAP Selangor di Bukit Utama, malam Khamis.
#DAP
#Gobind Singh Deo
#siasatan
#SKMM
#Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
#video
#video intim
#video seks
#WhatsApp