SKMM, polis siasat pemilik FB 'Chandra Lawan Tetap Lawan'

Astro Awani
Ogos 7, 2014 14:41 MYT
SKMM kerjasama dengan polis siasat pemilik FB 'Chandra Lawan Tetap Lawan' - Gambar fail
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang bekerjasama dengan pihak polis bagi menyiasat kes penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong oleh pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Chandra Lawan Tetap Lawan'.
Pengerusi SKMM, Datuk Shahril Tarmizi dalam satu kenyataan berkata, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini yang boleh menjejaskan siasatan dan mencemar keluhuran institusi beraja.
"Pada masa sama, SKMM juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mengeruhkan lagi keadaan dengan menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih di media sosial kerana dikhuatiri boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia," katanya lagi dengan harapan mereka yang terlibat dikenakan tindakan yang tegas.
Melalui posting yang tersebar di laman Facebook dan aplikasi WhatsApp, "Chandra Lawan Tetap Lawan" didapati telah menyunting imej kemalangan ngeri dengan meletakkan wajah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada mangsa kemalangan tersebut.
Kebiadaban pengendali akaun Facebook itu turut mengundang kemarahan banyak pihak dengan lebih lima laporan polis dibuat ke atasnya sejak Selasa.
Walau bagaimanapun, pemilik akaun berkenaan dalam laman Facebooknya pada Rabu mendakwa dia telah difitnah menggunakan akaun palsu itu yang kini sudah pun dipadam, selain meminta pihak polis menyiasat perkara tersebut.
#Agong #FB #kaum #lawan #SKMM #WhatsApp
;