SKMM perlu ambil tindakan tegas terhadap portal Free Malaysia Today

Bernama
Januari 21, 2017 14:18 MYT
Mahdzir berkata sebagai pengamal media yang memahami etika kewartawanan, portal tersebut tidak sepatutnya melaporkan berita berdasarkan andaian dan persepsi semata-mata. - Gambar Bernama
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap portal berita Free Malaysia Today (FMT) susulan laporan tidak benar mengenai tahap kualiti graduan di negara ini.
Mahdzir berkata sebagai pengamal media yang memahami etika kewartawanan, portal tersebut tidak sepatutnya melaporkan berita berdasarkan andaian dan persepsi semata-mata.
"FMT tidak bertanggungjawab dengan berita yang dikeluarkan, FMT tidak boleh membuat tuduhan atau pun mengambil kenyataan daripada orang lain dan dijadikan satu kenyataan yang pada saya sangat bias dan tidak adil untuk ahli akademik di Malaysia.
"Isu ini membuatkan hati para pendidik, pembuat dasar, perancang pendidikan, graduan dan saya sendiri merasa terusik, malah saya juga rasa tidak gembira," katanya kepada pemberita selepas program Sarapan Pagi bersama Menteri Pendidikan di sini, hari ini.
Mahdzir mengulas mengenai permohonan maaf portal berita tersebut, selepas melaporkan berita mengenai Prof Lant Pritchett dari Universiti Harvard, Amerika Syarikat yang kononnya berkata kualiti lepasan ijazah di Malaysia dan Indonesia setaraf dengan pelajar sekolah menengah di Denmark.
Menurut portal itu, Pritchett berkata kajian terhadap graduan Indonesia dalam beberapa aspek termasuk pemikiran kreatif mendapati hasilnya hampir sama dengan pelajar tercicir di peringkat sekolah menengah di Denmark, dan ciri-ciri sama juga didapati di Malaysia.
Bagaimanapun profesor tersebut kemudiannya mendakwa bahawa kenyataannya telah disalah petik dan menyatakan bahawa beliau sendiri tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai tahap graduan di Malaysia.
-- BERNAMA
#fmt #Mahdzir Khalid #SKMM #tindakan
;