SKMM, PDRM siasat penyebaran kertas siasatan kes Zayn Rayyan di Telegram

Sinar Harian
Jun 14, 2024 15:25 MYT
Fahmi menegaskan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan kertas siasatan tersebut. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat penyebaran kertas siasatan kes kematian kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin di aplikasi Telegram.

Ringkasan AI
  • SKMM akan bekerjasama dengan PDRM untuk menyiasat penyebaran kertas siasatan kes kematian kanak-kanak autistik Zayn Rayyan di aplikasi Telegram.
  • Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan tindakan boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan kertas siasatan tersebut, sambil meminta untuk memberi ruang kepada PDRM dan mahkamah menyelesaikan kes ini.
  • Ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak tersebut, sementara mayatnya ditemui dengan kecederaan leher dan badan akibat kemungkinan mempertahankan diri.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihak yang menyebarkan kertas siasatan tersebut boleh diambil tindakan kerana kes terbabit kini di peringkat mahkamah.
"Pihak yang memasukkan perkara seperti ini (kertas siasatan) dalam Telegram, tidak diketahui sama ada maklumat itu betul atau tidak, sama ada direka atau dibuat-buat.
"Oleh itu, pihak yang memasukkan isi kandungan (kertas siasatan) ini perlu diambil tindakan. Kita perlu bertindak adil dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Sembang Santai bersama Komuniti Madani Parlimen Pulai di sebuah restoran di Taman Desa Rahmat, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Fahmi juga meminta orang ramai tidak mendahului mahkamah dalam menghakimi kes tersebut sebaliknya memberi ruang PDRM dan mahkamah untuk menyelesaikan kes terbabit.
"Kes telah dibawa ke mahkamah, justeru semua pihak mesti berikan ruang kepada mahkamah untuk melakukan tanggungjawabnya bagi mengadili kes ini.
"Selain itu, kita tidak boleh membuat spekulasi walaupun merasakan tidak puas hati dengan tindakan-tindakan tertentu.
"Terdapat tatasusila dalam menguruskan kes jenayah seperti yang telah dijelaskan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain," katanya.
Pada Khamis, ibu dan bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lepas.
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Pada 6 Disember tahun lepas, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. - Sinar Harian
#Zayn Rayyan #kertas siasatan #Fahmi Fadzil #Telegram
;