SKMM, Maktab PDRM pupuk kerjasama strategik tangani jenayah siber dan narkotik
Firdaus Azil
Mac 11, 2024 16:52 MYT
Mac 11, 2024 16:52 MYT
KUALA LUMPUR: Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Maktab Polis Diraja Malaysia (MPDRM) bakal memupuk kerjasama strategik melibatkan pembangunan kapasiti berkaitan jenayah siber dan narkotik.
MCMC dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, MoU itu ditandatangani oleh pengerusinya Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, sambil disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menerusi MoU tersebut, SKMM dan MPDRM akan menjalin kerjasama dalam aspek berikut, termasuk, namun tidak terhad kepada tiga perkara iaitu:
i. Kerjasama dalam inisiatif pembangunan kapasiti berkaitan siasatan dan penguatkuasaan termasuklah pembangunan bersama silibus
ii. Menyediakan kepakaran iaitu pegawai MCMC atau pegawai MPDRM sebagai pensyarah atau penceramah di dalam latihan dan penyelidikan yang akan dilaksanakan berkaitan siasatan dan penguatkuasaan; dan
ii. Penempatan silang dan rentas fungsi untuk pegawai kedua-dua agensi
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Fahmi berkata, “Kerjasama ini akan memperkukuh pembangunan bakat khususnya dalam industri komunikasi dan multimedia, seterusnya memacu ke arah ekonomi yang lebih mampan.”
Dalam pada itu, SKMM berkata, pihaknya komited dalam membantu menaik taraf capaian rangkaian di MPDRM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
“SKMM yakin, penambahbaikan kepada liputan rangkaian dapat memberi manfaat kepada anggota-anggota polis, khususnya yang mengikuti latihan serta kursus di MPDRM Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu lagi.