SKMM ambil tindakan ke atas 2,823 akaun menyamar di media sosial

Bernama
Mac 29, 2019 05:33 MYT
Pengguna yang menjadi mangsa supaya membuat laporan secara terus kepada pihak penyedia platform media sosial atau SKMM. - Gambar hiasan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan ke atas 2,823 akaun media sosial yang terlibat aktiviti penyamaran dari 2018 hingga pertengahan bulan ini, dengan 80 peratus daripadanya telah dipadamkan selaras dengan terma dan syarat platform masing-masing.
Ketua Pegawai Sektor Pematuhan MCMC Zulkarnain Mohd Yasin berkata langkah itu bertujuan melindungi pengguna daripada aktiviti penyamaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial.
"Kesemua tindakan ini diambil susulan aduan orang ramai. Tindakan tegas boleh diambil ke atas pihak yang melakukan kesalahan berpandukan kepada peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain penutupan akaun dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial, Zulkarnain berkata pendekatan lain yang diambil adalah tindakan penguatkuasaan dan kempen advokasi.
Beliau menggesa pengguna yang menjadi mangsa supaya membuat laporan secara terus kepada pihak penyedia platform media sosial atau MCMC.
Katanya lagi, MCMC melaksanakan program seperti Klik Dengan Bijak (KDB) untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kepentingan penggunaan internet secara berhemah. Program itu telah menjangkau lebih lima juta audiens sejak diperkenalkan pada 2012.
Menurut kenyataan itu, tahap penggunaan internet dalam kalangan rakyat adalah tinggi iaitu 28.7 juta orang, dengan memetik sumber daripada Kajian Pengguna Internet 2018 MCMC.
-- BERNAMA
#akaun menyamar #hak pengguna #MCMC #media sosial #pengguna media sosial #SKMM #tindakan undang-undang
;