SKMM akan siasat aplikasi 'Sugarbook'

Astro Awani
Februari 15, 2021 11:13 MYT
SKMM berkata jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau dan menyiasat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) aplikasi mencari teman ‘Sugarbook’ dan akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara ini.
Jika terdapat unsur kegiatan pelacuran, tindakan lanjut akan dijalankan oleh PDRM.
Dalam satu kenyataan, SKMM berkata pihaknya sedia maklum dengan gimik pemasaran laman 'Sugarbook' yang baru-baru ini mendakwa ramai wanita Malaysia, terutamanya penuntut universiti, menawarkan diri sebagai 'sugar baby' di laman aplikasi tersebut.
“Dakwaan seperti yang terdapat dalam gimik pemasaran itu perlu disiasat untuk disahkan kerana profil pengguna boleh diolah sesuka hati untuk tujuan yang berlainan termasuk untuk memperdaya mangsa,” kata kenyataan itu.
Dalam masa yang sama, SKMM menyeru agar ibu bapa dan penjaga sentiasa mengawasi tingkah laku anak-anak dalam talian dan sentiasa peka dengan perubahan gaya hidup yang boleh menimbulkan keraguan.
Selain daripada Sugarbook, terdapat pelbagai aplikasi lain yang menawarkan perkhidmatan mencari pasangan dalam talian.
Tegas SKMM, pengguna harus sedar bahawa mereka mudah tertipu dan terdedah kepada risiko jenayah siber sekiranya tidak mengambil langkah keselamatan siber dan kawalan kendiri.
#sugarbook #Sugardaddy #Sugarbaby #Polis Diraja Malaysia #undang-undang #PDRM #SKMM #jenayah #polis
;