SKMM akan runding dengan syarikat telekomunikasi, semak semula kadar servis
Astro Awani
Februari 21, 2015 17:38 MYT
Februari 21, 2015 17:38 MYT
Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan berunding dengan syarikat telco di negara ini bagi menurunkan caj perkhidmatan semasa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kadar yang dikenakan ketika ini perlu disemak berikutan penurunan harga minyak dunia.
“Kita tahu bahawa harga borong kepada jalur lebar yang dikenakan oleh pembekal pembekal talian adalah tetap. Gentian optik juga sudah murah sekarang. Tetapi ia tidak mencerminkan dengan harga yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi kami,” Ahmad Shabery berkata demikian selepas merasmikan program pembahagian BR1M kepada 1,500 penerima DUN Chukai di Kemaman.
Pihaknya juga akan meminta SKMM menyenaraikan harga dan perkhidmatan syarikat telco di negara ini agar pengguna dapat menilai dan memilih perkhidmatan yang lebih murah dan berkualiti.
Menurutnya, jalur lebar adalah pemangkin bagi menjadikan negara lebih kompetitif terutama dalam usaha menarik pelaburan asing.
Sehubungan itu, Malaysia wajar mencapai sasaran sebagai sebuah negara penanda aras bagi negara Asean dari segi struktur harga dan perkhidmatan berbanding negara lain seperti Thailand dan Indonesia.