SKM tidak pernah lantik pihak ketiga urusan penubuhan koperasi

Astro Awani
Mei 19, 2021 19:24 MYT
SKM menjelaskan, orang ramai, boleh berurusan terus dengan pegawai di pejabat SKM cawangan negeri dan wilayah bagi urusan penubuhan koperasi. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tidak pernah melantik mana-mana orang perseorangan, ejen atau syarikat dalam urusan penubuhan koperasi.
Dalam satu kenyataan, SKM menjelaskan, orang ramai, boleh berurusan terus dengan pegawai di pejabat SKM cawangan negeri dan wilayah bagi urusan penubuhan koperasi.
"Perkara ini perlu ditegaskan kerana terdapat koperasi yang dalam proses penubuhan memaklumkan mereka telah membuat bayaran kepada ejen semasa proses penubuhan koperasi.
"Sehubungan dengan itu, SKM menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang ditawarkan serta mendapatkan maklumat dan pengesahan lanjut daripada pihak SKM terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan atau keputusan," jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh dimajukan kepada SKM melalui talian 03-20834000 atau melalui aplikasi WhatsApp Hotline SKM di talian 019-2445339 atau emel webmaster@skm.gov.my.
Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh, sebelum ini menyarankan kerajaan mempertimbangkan keterbukaan ruang dan peluang kepada koperasi yang berkaliber dan layak untuk menyertai equiti dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
Katanya, peluang itu dapat membantu kerajaan kembali meningkatkan ekonomi negara sekali gus mengatasi masalah penyusutan ekonomi ketika ini.
Sebelum ini juga, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SKM memperuntukkan bantuan kecemasan koperasi berjumlah RM1 juta bagi meringankan beban koperasi-koperasi yang terjejas teruk akibat banjir di beberapa negeri di seluruh negara.
Jelasnya, dana bantuan di bawah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi itu akan disalurkan kepada 73 buah koperasi yang telah dikenal pasti di semua negeri-negeri terlibat.
#SKM #Suruhanjaya Koperasi Malaysia #tidak pernah lantik ejen #penubuhan koperasi
;