SKM peruntukkan RM1 juta ringankan koperasi terjejas banjir - Wan Junaidi

Astro Awani
Februari 10, 2021 17:13 MYT
Wan Junaidi menerima replika cek bantuan kecemasan koperasi terjejas banjir daripada Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Nordin Salleh di Putrajaya pada Rabu. - Gambar MEDAC
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memperuntukkan bantuan kecemasan koperasi berjumlah RM1 juta bagi meringankan beban koperasi-koperasi yang terjejas teruk akibat banjir di beberapa negeri di seluruh negara baru-baru ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, dana bantuan di bawah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi itu akan disalurkan kepada 73 buah koperasi yang telah dikenal pasti di semua negeri-negeri terlibat.
Jelasnya, antara negeri yang terlibat adalah di Pahang (40 koperasi), Kelantan (3 koperasi), Terengganu (9 koperasi), Johor (9 koperasi), Sarawak (2 koperasi), Sabah (2 koperasi), Perak (5 koperasi), Negeri Sembilan (1 koperasi), Melaka (1 koperasi) dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1 koperasi : projek dan aset koperasi di Raub, Pahang).
"Bantuan ini akan akan dibuat terus kepada koperasi-koperasi yang terlibat dan akan dipantau pelaksanaannya oleh SKM di peringkat negeri.
"Saya berharap bantuan kecemasan ini dapat membantu koperasi membangunkan semula aktiviti ekonomi serta mengurangkan beban koperasi yang terjejas akibat bencana alam tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu kata Wan Junaidi, bantuan kecemasan itu akan digunakan sepenuhnya oleh koperasi
untuk menampung sebarang kerosakan premis, aset atau produknya yang teruk terjejas akibat banjir.
"Inisiatif ini dilihat sebagai salah satu usaha SKM untuk memastikan kesejahteraan dan kelangsungan operasi koperasi terus bertahan dan dibela.
"Saya menyarankan agar semua agensi di bawah MEDAC untuk menyegerakan segala bentuk bantuan yang berkaitan demi membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam itu.
"MEDAC dan SKM akan terus memastikan koperasi yang terjejas diberi perhatian yang sewajarnya, justeru ia diharap dapat meningkatkan kembali kapasiti koperasi untuk menggerakkan semula aktiviti perniagaan agar terus menjadi penyumbang efektif kepada pembangunan ekonomi negara," ujarnya.
Sehingga 9 Februari, SKM telah meluluskan sebanyak RM427,120.00 bantuan kecemasan.
#SKM #Medac #banjir #usahawan #Suruhanjaya Koperasi Malaysia #bantuan kecemasan #koperasi #Wan Junaidi Tuanku Jaafar #Tabung Bantuan Kecemasan Koperas
;