SKM beri sumbangan Ramadan kepada petugas kesihatan, barisan hadapan
Astro Awani
April 29, 2022 12:39 MYT
April 29, 2022 12:39 MYT
KUALA LUMPUR : Pengorbanan petugas kesihatan dan petugas barisan hadapan semasa sambutan Aidilfitiri ini amat dihargai.
Susulan itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menghulurkan sumbangan kepada mereka yang tidak dapat bercuti sempena Aidilfitri.
SKM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan sumbangan ini adalah sempena sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia.
Sumbangan diberikan kepada petugas kesihatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Permaisuri Tunku Azizah.
“Sumbangan pada kali ini merupakan pek makanan berbuka puasa berjumlah RM10,000 dan disalurkan melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.
“Hospital Besar Kuala Lumpur merupakan hospital yang menyelesaikan kes-kes kecemasan dan kemalangan yang kritikal dari dahulu hingga kini dari seluruh negara.
“Sudah tentu beban tugas yang dipikul olehnya lebih berat. Sumbangan pek makanan berbuka puasa ini, sebagai tanda terima kasih SKM dan Gerakan Koperasi yang tidak sempat menyediakan juadah berbuka puasa, disebabkan kesibukan tugas dalam menangani kes-kes kemalangan dan kecemasan di kalangan pesakit kanak-kanak, dewasa dan warga emas,” katanya.
Sumbangan diberikan melalui sumbangan Ramadan yang dilaksanakan menerusi Program Tanggungjawab Sosial (CSR).