SKM bangunkan pelan antirasuah, banteras penyelewengan dalam organisasi

Bernama
Mei 23, 2023 04:15 MYT
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang menyifatkan pelan berkenaan sebagai penting berkata ia mencerminkan komitmen warga SKM dalam memperbaiki tata kelola serta meningkatkan integriti. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah membangunkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2023-2025 sebagai usaha membanteras amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam organisasi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick yang menyifatkan pelan berkenaan sebagai penting berkata ia mencerminkan komitmen warga SKM dalam memperbaiki tata kelola serta meningkatkan integriti.
"Ia (OACP) penting kerana kita perlu memberi tumpuan kepada tata kelola dan urus tadbir kementerian dan agensi dengan baik dengan menolak unsur rasuah dalam usaha kita memberikan yang terbaik untuk rakyat," katanya selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Gerakan Koperasi 2023 di sini pada Selasa.
Sementara itu, beliau berkata menurut statistik SKM, jumlah perolehan gerakan koperasi di seluruh negara meningkat kepada RM45.50 bilion tahun lepas dengan syer dan yuran terkumpul berjumlah RM16.99 bilion.
Ewon berkata ia meningkat berbanding 2021 yang merekodkan perolehan sebanyak RM37.89 bilion dan RM41.45 bilion pada 2020.
"Setakat 31 Dis 2022, sebanyak 15,316 koperasi telah didaftarkan di bawah SKM dengan jumlah keanggotaan seramai 7.31 juta di seluruh negara. Ini menunjukkan sokongan besar kepada koperasi kita," katanya.
-- BERNAMA
#Pelan Antirasuah Organisasi #SKM #Suruhanjaya Koperasi Malaysia #Ewon Benedick
;