SKM anjur Bulan Koperasi Kebangsaan, Hari Koperasi Negara 2024

Astro Awani
Julai 1, 2024 23:20 MYT
SKM menambah tema penganjuran bagi BKK dan HKN Peringkat Negeri 2024 menggunakan tema sama seperti tahun lalu iaitu “Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi”. - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan mengadakan Majlis Peluncuran Bulan Koperasi Kebangsaan (BKK) dan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024 yang dijadual berlangsung pada 5 Julai depan di Kompleks Pengkalan Asam, Kangar di Perlis.
Menurut SKM dalam satu kenyataan, penganjuran BKK dan HKN bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada gerakan koperasi terutamanya terhadap sumbangan dan peranan koperasi dalam pembangunan ekonomi negara.
Jelas suruhanjaya itu, majlis tersebut akan dirasmikan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
"Hari Koperasi Negara (HKN) merupakan acara tahunan yang disambut sejak 2002 selaras dengan sambutan Hari Koperasi Antarabangsa.
"Tahun ini adalah merupakan sambutan kali ke-22. Secara lazimnya, HKN di negara kita disambut pada Julai setiap tahun manakala di peringkat antarabangsa, ia disambut pada hari Sabtu minggu pertama bulan Julai setiap tahun.
"Manakala, BKK di sambut sejak tahun 2022 disepanjang bulan Julai," kata SKM dalam kenyataan tersebut pada Isnin.
Kata suruhanjaya itu lagi, sambutan BKK 2024 juga merupakan inisiatif SKM bagi mempromosikan perkhidmatan dan produk yang ditawarkan dan gerakan koperasi di seluruh negara bagi membantu mengembangkan ekonomi koperasi dan usahawan.
SKM menambah, tema penganjuran bagi BKK dan HKN Peringkat Negeri 2024 menggunakan tema sama seperti tahun lalu iaitu “Malaysia Madani Teras Kecemerlangan Koperasi”.
"Tema ini masih relevan dengan aspirasi Kerajaan Madani hari ini dan koperasi adalah model yang baik untuk menggerakkan ekonomi dalam kalangan akar umbi.
"Kerajaan mahu koperasi terlibat secara lebih aktif dalam agenda pembangunan negara ke arah mencapai sasaran Ekonomi Madani dalam meningkatkan pendapatan dan ekonomi koperasi," katanya lagi.
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia #Bulan Koperasi Kebangsaan #Tuanku Syed Sirajuddin
;