Skim rumah mampu milik hadiah Sultan Ibrahim untuk Bangsa Johor sempena hari keputeraan
Astro Awani
Mac 21, 2017 14:13 MYT
Mac 21, 2017 14:13 MYT
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengumumkan kejutan kepada rakyat Johor dengan memperkenalkan skim perumahan mampu milik, lantaran prihatin dengan masalah pemilikan rumah dalam kalangan rakyat negeri itu.
Lebih istimewa, pengumuman tentang projek Rumah Impian Sultan Ibrahim itu dibuat sempena menyambut hari ulang tahun keputeraan baginda yang ke-59.
Sultan Ibrahim bertitah projek hakmilik bebas unik ini akan dibangunkan di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim dengan kerjasama Bank Rakyat, menawarkan konsep hartanah kediaman yang berlainan, rumah kedai dan lain-lain unit komersil.
"Fasa pertama, saya hendak buat dalam 600 unit termasuk banglo dan rumah berkembar (semi-D). Rumah atas tanah. Mana ada banglo yang boleh bawah RM100,000 dan semi-D.
“Saya mahu Bangsa Johor menjadi sebuah komuniti yang memiliki rumah. Saya mahu skim perumahan yang pertama seumpamanya ini benar-benar mampu dimiliki, murah dan berkualiti tinggi.
“Bayangkan memiliki sebuah banglo tiga bilik atau rumah berkembar dengan harga bawah RM100,000 seunit. Ia dibuka kepada semua Bangsa Johor yang layak,” titah baginda yang turut menyentuh tentang konsep pewayaran dan pengkabelan elektrik bawah tanah.
Tambah baginda, projek tersebut tidak akan merugikannya kerana ia lebih kepada amal jariah baginda kepada rakyat negeri.
Sultan Ibrahim, bagaimanapun, bertitah bahawa tawaran itu hanya terbuka kepada Bangsa Johor, dan proses pemilihan akan disaring ketat dan teliti.
"Kita mesti memastikan rumah mampu dimiliki oleh semua. Harga sekarang adalah di luar jangkauan mereka yang berpendapatan sederhana," titahnya.
Pemohon yang berjaya hanya perlu membayar deposit RM1 untuk pinjaman penuh dengan skim pembayaran semula yang mudah.
Orang ramai juga dijemput mengunjungi majlis pelancaran projek itu di Galleria@Kotaraya, pada Rabu.
Memetik sebuah laporan temu bual eksklusif, baginda bertitah: "Jikalau Rumah Impian Sultan Ibrahim ini menjadi betul-betul impian rakyat seluruh negara, dan mendapat sokongan daripada kerajaan Persekutuan untuk saya bina rumah rakyat untuk negara, saya akan buat dengan tidak mengambil untung satu sen pun."
SULTAN YANG MENDEKATI RAKYAT
Sultan Johor sememangnya sinonim dengan program kerakyatan antaranya Program Kembara Mahkota Johor, aktiviti yang berteraskan kerja sosial yang diilhamkan Baginda sejak 2001 ketika menjadi ‘Tunku Mahkota Johor’.
Program Kembara Mahkota Johor dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dijadikan acara tahunan yang disertai Menteri Besar dan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, bagi melaksanakan pelbagai projek kebajikan sepanjang laluan konvoi di semua 10 daerah di negeri Johor.
Kini, Kembara Mahkota Johor telah pun berlangsung selama empat belas tahun, melalui laluan darat (motosikal, pacuan 4 roda, keretapi dan bas), jalan air (bot dan kapal).
Pada 5 Februari 2012, Sultan Ibrahim bertitah memperkenankan Bandar Muar menjadi Bandar Diraja ketika Tuanku menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Johor di Masjid Sultan Ibrahim, Bandar Maharani, Muar.
Dalam satu istiadat yang bersejarah, Sultan Ibrahim telah mengisytiharkan Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja Johor pada 24 November 2012, sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Tuanku pada 22 November 2012.
Sultan Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa Baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa.
Baginda juga telah mencipta sejarah memperolehi Lesen Memandu Kereta Api Kelas 26 setelah menyempurnakan acara pusingan lokomotif seberat 86 tan.
Malaysia Book Of Records turut mengiktiraf Baginda sebagai Sultan pertama memandu kereta api secara rasmi 29 Jun 2010.