Skim pinjaman baru bagi pemohon PR1MA yang gagal dalam permohonan pinjaman
Aizat Sharif
November 12, 2013 18:42 MYT
November 12, 2013 18:42 MYT
Pemohon Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang gagal memperoleh pinjaman bagi memiliki rumah dibawah program tersebut akan diperkenalkan dengan satu skim pembiayaan baru.
Skim dengan kadar bayaran bulanan lebih rendah itu diperkenalkan supaya pemohon-pemohon masih lagi dapat memiliki rumah yang mereka pohon melalui program tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kemudahan dalam mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan turut disediakan dibawah skim berkenaan.
“Skim baru ini akan dikemukakan pada mesyuarat kabinet pada minggu ini dan Perdana menteri akan mengumumkannya secara rasmi dan apa yang boleh saya terangkan secara kasar disini ialah, skim ini akan menawarkan bayaran pinjaman bulanan yang jauh lebih rendah berbanding apa yang ditetapkan oleh institusi kewangan tempatan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen petang tadi.
Beliau menambah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat pengumuman rasmi mengenai perlaksanaan skim tersebut dalam tempoh terdekat.
Terdapat tiga peringkat pembiayaan dalam skim berkenaan yang bermula pada RM200,000, RM300,000 dan RM400,000.
Sementara itu, PR1MA akan mula membina 44,223 unit rumah di seluruh negara pada tahun ini di 10 buah negeri bermula dengan Negeri Sembilan sebagai negeri pertama perlaksanaan rancangan itu.
“Negeri Sembilan merupakan negeri pertama dalam perlaksanaan PR1MA iaitu sebanyak 6,174 unit dan dan walaupun kita menyasarkan untuk membina 80,000 unit rumah setiap tahun, ianya hanya dapat dimulakan pada Jun lalu setelah Parlimen meluluskan Akta PR1MA pada Januari lepas,” katanya lagi.
Beliau menegaskan meskipun terdapat kesukaran menyiapkan semua unit PR1MA (80,000 unit) seperti disasarkan, dengan baki hanya dua bulan lagi, itu tidaklah membantutkan pembinaannya akan tetap dimulakan pada tahun ini juga.
Kerajaan juga sedang berusaha mendapatkan lebih banyak kawasan atau tapak bagi projek PR1MA termasuk menjalinkan kerjasama dengan swasta dan pemilik tanah persendirian.
Selain itu antara negeri-negeri lain yang akan melaksana PR1MA ialah Selangor (8,872), Kuala Lumpur (4,636), Johor (7,539), Pulau Pinang (2,510), Kedah (1,349), Perak (208), Pahang (1,152), Sabah (9,910) serta 1,877 di Sarawak.