Skim Perubatan MADANI permudah rakyat dapat rawatan, jimat masa dan kos

Bernama
Oktober 3, 2023 07:30 MYT
Skim Perubatan MADANI pertama kali diumumkan oleh Anwar semasa pembentangan Belanjawan 2023 Februari lepas. - Foto fail/Skim Perubatan MADANI
KUALA LUMPUR: Skim Perubatan MADANI yang diperkenalkan pada Jun lepas terbukti memberi manfaat kepada orang ramai dengan mempermudahkan mereka mendapat rawatan selain menjimatkan masa dan kos.
Bagi pesara yang tinggal di Ipoh, Lim Chia Seng, 67, skim itu membolehkannya pergi ke klinik kurang dari satu kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Baru Gunung Rapat.
"Saya tidak perlu lagi ke pusat bandar (yang kerap sesak) untuk membuat pemeriksaan kesihatan bulanan. Apa yang lebih baik adalah ia percuma, jadi skim perubatan itu adalah penyelamat sebenar, jika tidak klinik itu agak mahal," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Senada dalam pandangan itu, Michael Louis, 32, juruteknik elektrik dari Sabah yang bekerja di ibu negara, berkata skim berkenaan membantu pesakit yang mengalami gejala ringan seperti selesema dan demam mendapat rawatan, sekali gus mengurangkan kesesakan fasiliti kesihatan awam.
"Saya selalu pergi ke klinik kesihatan kerajaan setiap kali rasa kurang sihat kerana ia lebih murah walaupun terpaksa beratur panjang. Saya lega sangat apabila skim perubatan ini diumumkan kerana kini saya boleh ke mana-mana klinik berhampiran sahaja tanpa bimbang perlu berbelanja lebih daripada yang saya mampu," katanya.
Kevin Lester, 41, dari Pulau Pinang, bagaimanapun merasakan Skim Perubatan MADANI perlu diperluaskan lagi kepada golongan berpendapatan berbeza, memandangkan peningkatan kos sara hidup pada masa kini bukan sahaja kepada golongan B40.
"Saya dari golongan M40 tetapi paras pendapatan saya tidak ada beza dengan kategori B40 sekarang kerana wang mudah habis apabila membeli barang keperluan.
"Jika anak saya jatuh sakit, saya akan sentiasa memilih untuk membawa mereka ke klinik swasta kerana lebih mudah dan cepat. Oleh itu, saya amat berharap kerajaan mempertimbangkan untuk memasukkan kumpulan M40 ke dalam skim perubatan ini," kata bapa kepada tiga anak yang bekerja sebagai jurutera komputer itu.
Pada 1 Okt lepas, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata 1,587 klinik swasta telah mendaftar dan menyediakan perkhidmatan di bawah Skim Perubatan MADANI, yang memanfaatkan 112,887 isi rumah dalam kumpulan B40 sejak ia diperkenalkan tiga bulan lepas.
Skim Perubatan MADANI pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023 Februari lepas.
Ia ditawarkan secara automatik kepada penerima Bantuan Tunai Rahmah, memberikan mereka akses mudah dan cepat kepada perkhidmatan percuma di mana-mana klinik swasta berdaftar, termasuk perundingan, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan.
Maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan MADANI termasuk status kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman web ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau dengan menghubungi 03-8687 2525.
-- BERNAMA
#Skim Perubatan Madani #Bantuan Tunai Rahmah #Klinik kesihatan #gejala ringan
;