Skim Perubatan MADANI masuk Fasa 2, B40 di Terengganu, Kedah terima manfaat

Bernama
Ogos 9, 2023 10:15 MYT
Golongan B40 di Terengganu dan Kedah termasuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta yang berdaftar, menerusi Skim Perubatan MADANI yang memasuki Fasa 2.
KUALA LUMPUR: Golongan B40 di Terengganu dan Kedah termasuk penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta yang berdaftar, menerusi Skim Perubatan MADANI yang memasuki Fasa 2.
Inisiatif diperkenalkan kerajaan ketika pembentangan Belanjawan 2023 itu antara lain bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di hospital awam.
Pelaksanaan di dua negeri berkenaan bermula minggu ini melibatkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Terengganu serta Kota Setar dan Kuala Muda di Kedah.
Skim Perubatan MADANI memperuntukkan RM250 bagi setiap isi rumah berkeluarga, warga emas tanpa pasangan (RM125), bujang (RM75) dan penerima boleh mendapatkan beberapa kali rawatan percuma sehingga peruntukan bagi setiap isi rumah habis.
Di TERENGGANU, seorang ibu tunggal dari Kuala Ibai, Robiatul Adawiyah Zakaria, 39, berkata Skim Perubatan MADANI adalah bukti kesungguhan dan keprihatinan kerajaan dalam memastikan golongan B40 mendapat penjagaan serta rawatan kesihatan yang baik di klinik swasta.
Robiatul Adawiyah berkata, beliau yang berpendapatan RM40 sehari tidak mampu untuk membeli insurans kesihatan dan terpaksa berharap kepada fasiliti kesihatan awam untuk mendapatkan rawatan terutama pada masa kecemasan.
"Saya bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan harian. Ada kerja ada gaji. Sakit demam memang harap pada hospital kerajaan.
"Tetapi waktu malam memang susah sedikit kerana klinik kerajaan tutup...terpaksa pergi ke bahagian kecemasan (hospital). Untuk kes-kes sakit yang ringan memang kena tunggu lama sampai tiga empat jam," katanya kepada Bernama.
Zulkifli Yusof, 42, pekerja am di sebuah sekolah agama swasta pula berkata Skim Perubatan MADANI adalah satu rahmat kepada golongan tidak berkemampuan sepertinya.
Menurut bapa kepada empat orang anak itu, kos sara hidup termasuk penjagaan kesihatan pada hari ini sangat tinggi dan beliau memerlukan bantuan kerajaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Sementara itu, di KEDAH, seorang ibu tunggal Masriyah Mansor, 62, menganggap Skim Perubatan MADANI sebanyak RM125 bagi warga emas yang tiada pasangan itu umpama 'hadiah' menghargai golongan warga emas di negara ini.
"Saya berasa seronok, kita nampak usaha kerajaan sekarang untuk membela kebajikan rakyat dan nasib golongan warga emas. Saya harap bantuan ini memberikan manfaat kepada saya, insya-Allah," katanya.
Dalam pada itu, pekerja swasta Noor Shifa Ahmad, 29, berkata skim perubatan bernilai RM75 untuk golongan bujang sepertinya sedikit sebanyak membantu mereka mendapatkan kemudahan kesihatan.
"Hospital besar dan utama ialah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, sekiranya ada bantuan perubatan seperti itu boleh juga sekurang-kurangnya membantu mengurangkan kesesakan di HSB," katanya.
Pelaksanaan Fasa 2 Skim Perubatan MADANI turut disasarkan di tujuh daerah lain bermula minggu keempat Ogos, melibatkan Perlis; Kota Bharu dan Pasir Mas (Kelantan); Kuantan (Pahang); Melaka Tengah (Melaka); Seremban (Negeri Sembilan); dan Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang).
Sebelum ini skim itu dilaksanakan secara rintis di 10 daerah iaitu Johor Bahru (Johor); Kuala Lumpur; Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak (Selangor); Kinta (Perak); Timur Laut (Pulau Pinang); Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah). - BERNAMA
#golongan B40 #Skim Perubatan Madani #Sumbangan Tunai Rahmah #penjagaan kesihatan
;