Skim pembiayaan bantu golongan sasar miliki rumah sedang diteliti - KPKT
Hasimi Muhamad
Mac 8, 2023 11:30 MYT
Mac 8, 2023 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang meneliti untuk memperbagaikan skim pembiayaan perumahan bagi membantu golongan sasar, khususnya B40, untuk memiliki rumah.
Menurut timbalan menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah Skim Sewa-untuk-Milik atau Rent-to-Own (RTO) dengan 6,066 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) ditawarkan.
Jelas beliau, RTO yang diperkenalkan sejak 2017 telah dilaksanakan di 14 PPR di seluruh negara, dan ia membantu pemilik rumah B40 memiliki kediaman.
"Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 4,690 keluarga telah ditawarkan skim RTO PPR di seluruh negara dan masih berbaki 1,376 unit rumah yang belum ditawarkan.
"KPKT juga sedang meneliti untuk mempelbagaikan skim pembiayaan perumahan bagi membantu golongan sasar memiliki rumah," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.
Selain itu, bagi membantu pembeli rumah pertama, Akmal berkata KPKT dengan kerjasama Kementerian Kewangan telah melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya).
Jelas Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, salah satu program di bawah inisiatif berkenaan adalah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) iaitu pembiayaan perumahan tanpa perlu membayar wang pendahuluan yang ditawarkan kepada golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau kumpulan gig economy.
"Dalam pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan bercadang untuk meneruskan inisiatif ini melalui jaminan sehingga RM5 billion nilai pinjaman untuk manfaat 20,000 peminjam yang memerlukan.
"Seterusnya, di bawah Belanjawan 2023 juga, kerajaan akan meneruskan inisiatif i-Miliki yang melibatkan pemberian insentif pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi pembelian rumah pertama bagi rumah berharga sehingga RM1 juta," katanya lagi.
#Skim pembiayaan perumahan
#Dewan Rakyat
#Akmal Nasrullah Mohd Nasir
#rent-to-own
#Skim Sewa-untuk-Milik