Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menafikan Skim Peduli Sihat yang akan mula dinikmati rakyat Selangor hari ini sebagai ole-ole pilihan raya.

Ia berikutan tegasnya, beliau sendiri tidak tahu bila pilihan raya umum akan diadakan.

"Saya tidak tahu tarikh pilihan raya, jadi macam mana pula ini boleh jadi ole-ole pilihan raya? Kalau saya boleh umumkan tarikh pilihan raya, tunggu. Nanti penggal yang akan datang saya akan umumkan (tarikh pilihan raya)," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Skim Peduli Sihat di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak di sini hari ini.

Tegasnya lagi, Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan atau Skim Peduli Sihat memanfaatkan golongan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah atau (B40).

Dalam ucapannya, Azmin berkata, mekanisme dilakukannya adalah selaras dengan gagasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Pada 2014, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kadar perbelanjaan kesihatan Malaysia hanya pada tahap 4.2 peratus dari KDNK berbanding negara seperti Cuba; 11.1 peratus, Brazil; 8.3 peratus, Vietnam; 7.1 peratus dan Thailand; 7.1 peratus," ujar beliau.

Dalam Belanjawan Selangor 2017, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah RM 125 juta setahun bagi pelaksanaan Skim Peduli Sihat yang akan menyediakan perkhidmatan percuma penjagaan kesihatan untuk 250 ribu keluarga atau 1 juta rakyat Selangor yang mempunyai pendapatan isi rumah RM 3,000 ke bawah.

Skim Peduli Sihat diuruskan Selgate Corporation selaku Third-Party Healthcare Administrator.

Skim berkenaan terbahagi kepada dua iaitu kategori A (keluarga) melibatkan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 akan menerima manfaat kelebihan isi kad RM500 setahun dan tiada had jenis rawatan atau perubatan tertakluk kepada syarat kelayakkan.

Manakala, kategori B untuk individu berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan RM1,500 dan ke bawah yang akan memperoleh isi kad bernilai RM200 juga tiada had rawatan serta perubatan.

Penerima skim ini boleh mendapat rawatan di 1,000 buah klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang.

Mereka yang dilahirkan atau telah menetap lebih 10 tahun di Selangor layak untuk menyertai skim ini.

Pendaftaran boleh dilakukan di Pejabat Ahli Dewan Negeri, PBT dan Pejabat Daerah dan Tanah, klinik-klinik berdaftar termasuk pendaftaran atas talian dengan menyertakan bukti atau pengesahan pendapatan.

Setiap peserta akan menerima kad kesihatan Peduli Sihat.

Klinik-klinik yang berdaftar dengan Peduli Sihat akan mengenakan bayaran yuran konsultasi doktor yang tidak membebankan rakyat selaras dengan yuran yang ditetapkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).