Skim pampasan buat penerima vaksin dengan kesan sampingan serius akan diumum - Khairy
Hasimi Muhamad
Mac 9, 2021 14:24 MYT
Mac 9, 2021 14:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka mengumumkan perincian skim perlindungan pampasan kepada penerima vaksin COVID-19, yang mendapat kesan sampingan serius akibat suntikan vaksin berkenaan pada Isnin ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata perkara tersebut akan diumum dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
"Kita akan umum pada sidang akhbar mingguan pada hari Isnin minggu depan. Ia akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan dalam sidang media bersama saya dengan Dr Adham," katanya hari ini.
Khairy berkata demikian dalam sidang media selepas membuat tinjauan di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.
Terdahulu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan Jemaah Menteri telah memutuskan perkara itu dalam mesyuarat khas dan dalam proses untuk diperincikan.
Skim itu dijangka akan memberi pampasan ex-gratia kepada kes kesan sampingan serius yang boleh dikaitkan dengan pemberian vaksin COVID-19.