Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan, 31 peniaga di Perak dikompaun

Abd Razak Mohd Ali
Mei 21, 2021 11:42 MYT
Saifullizan berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di 5,525 premis sejak skim itu diperkenalkan pada 21 April lalu. - Foto BERNAMA
IPOH: Seramai 31 peniaga di seluruh negeri Perak dikompaun RM4,000 kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang berakhir semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, 11 peniaga dikesan melakukan kesalahan tiada tanda harga khas merah jambu terhadap barangan yang dijual.
Menurutnya, lapan peniaga lain direkodkan tidak mempamerkan tanda harga selain masing-masing enam peniaga direkodkan menjual melebihi harga kawalan dan alat timbang yang tidak ditentusahkan.
"Sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu, hanya dua aduan diterima mengenai harga yang mengelirukan dan tiada tanda harga," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Saifullizan berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di 5,525 premis sejak skim itu diperkenalkan pada 21 April lalu dan merampas pelbagai barangan bernilai RM2,197.99.
Menurut beliau, sebanyak 29 barangan harga terkawal disenaraikan dalam skim itu antaranya ayam, telur ayam, daging, hasil laut, barangan kering dan sayuran.
"Secara keseluruhannya, tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah baik malah, kedudukan harga dan bekalan barangan keperluan lain adalah stabil serta mudah diperolehi di pasaran," ujarnya.
#kompaun #Hari Raya Aidilfitri #skim harga maksimum #KPDNHEP #peniaga
;