Skim Kawalan Harga: 31 peniaga tidak patuh dikompaun di Perak
Abd Razak Mohd Ali
Mei 21, 2021 10:51 MYT
Mei 21, 2021 10:51 MYT
IPOH: Seramai 31 peniaga di seluruh negeri Perak dikompaun sejumlah RM4,000 kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa yang berakhir semalam.
Ia antara lain membabitkan 11 peniaga yang dikesan melakukan kesalahan tiada tanda harga khas merah jambu terhadap barangan yang dijual.
Turut dikompaun, lapan peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga dan enam peniaga yang menjual melebihi harga kawalan serta menggunakan alat timbang yang tidak ditentusahkan.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman dalam satu kenyataan hari ini.
"Sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu, hanya dua aduan diterima mengenai harga yang mengelirukan dan tiada tanda harga," tambahnya.
Saifullizan berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan di 5,525 premis sejak skim itu diperkenalkan pada 21 April lalu dan merampas pelbagai barangan bernilai RM2,197.99.
Menurutnya, sebanyak 29 barangan harga terkawal disenaraikan dalam skim itu antaranya ayam, telur ayam, daging, hasil laut, barangan kering dan sayuran.
"Secara keseluruhannya, tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah baik.
"Malah, kedudukan harga dan bekalan barangan keperluan lain adalah stabil serta mudah diperolehi di pasaran," ujarnya.
#peniaga
#hari raya
#skim harga maksimum
#perayaan
#harga maksimum
#SHMMP Hari Raya Puasa
#alat timbang
#tanda harga
#harga kawalan
#kompaun
#KPDNHEP Perak
#Saifullizan Kamarul Zaman