Skim insurans kemalangan diri diberi percuma
Astro Awani
Januari 10, 2013 16:57 MYT
Januari 10, 2013 16:57 MYT
Skim perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian untuk pelajar sekolah diberi secara percuma.
Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, ibu bapa perlu jelas pembiayaan dibuat sepenuhnya oleh kerajaan.
Syed Hamid berkata pihaknya akan mengurus skim ini untuk perlindungan kira-kira 1.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
“Jadi ibu bapa tidak perlu membayar sesen pun untuk dua tahun. Selain daripada insurans sedia ada, insurans takaful juga disediakan oleh kementerian pelajaran untuk pelajar-pelajar sekolah,” kata Syed Hamid.
Dalam pada itu, skim itu kelak melindungi pelajar yang menggunakan bas berlesen dan berdartar dengan SPAD sahaja.
Kata Syed Hamid, perlindungan perjalanan akan diberi bermula pelajar keluar rumah sehingga ke sekolah.
Skim itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan belanjawan 2013 September lepas di Parlimen.