Skim harga maksimum musim perayaan: Johor catat kes tertinggi

Bernama
Januari 24, 2020 22:28 MYT
Datuk Muez Abdul Aziz melakukan pemeriksaan di sebuah pusat membeli belah, pada Jumaat. - Bernama
Sebanyak 21 kes melanggar Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baru Cina telah dicatatkan di Johor setakat Khamis, menjadikannya negeri tertinggi selepas empat hari pelaksanaan skim itu yang akan berlangsung sehingga 2 Feb ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Muez Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu, hanya kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas dan tiada tanda harga sahaja dikesan, manakala tiada kes melebihi harga maksimum dicatatkan.
"Keseluruhannya sebanyak 55 kes dikesan di seluruh Malaysia dengan 42 kes dilaporkan sebagai gagal menggunakan tanda harga khas dan 13 kes tiada tanda harga dicatatkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan sempena pelaksanaan skim itu di sebuah pusat membeli belah, pada Jumaat.
Kelantan menjadi negeri kedua tertinggi dengan 10 kes, diikuti Kedah (lapan kes), Negeri Sembilan (enam), Perak dan Pahang masing-masing empat kes dan Selangor dengan dua kes.
Sementara itu, Muez berkata sebanyak RM3,861.93 jumlah nilai rampasan daripada 55 kes itu manakala sejumlah RM5,900 nilai kompaun dikutip.
"Sepanjang empat hari ini, sebanyak 8,504 premis telah diperiksa dan pihak kami hanya menerima dua aduan daripada orang ramai," katanya.
-- BERNAMA
#harga #Johor #kompaun #KPDNHEP #Muez Abdul Aziz #musim perayaan #skim harga maksimum #Tahun Baru Cina #tanda harga