Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia stabilkan harga barang

Madiha Abdullah
Disember 3, 2021 18:59 MYT
Alexander berkata, skim berkenaan akan berkuat kuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebagai langkah menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan hari ini berkata, skim itu yang turut akan memastikan keberadaan bekalan di pasaran berkuat kuasa pada 7 hingga 31 Disember 2021.
Katanya, skim ini akan melibatkan kawalan harga ke atas item-item tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti berikut:
(1) Ayam hidup
(2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
(3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
(4) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
(5) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
(6) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
(7) Kacang panjang
(8) Cili merah
(9) Tomato
(10) Sawi hijau
(11) Kobis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing)
(12) Timun
Alexander berkata, senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran.
"Pengumuman harga bagi barangan yang terlibat akan dilakukan dalam masa terdekat. Bagi ayam dan telur penentuan harga akan dilakukan di peringkat ladang, borong dan runcit.
"Manakala bagi sayur-sayuran, harga kawalan akan ditentukan di peringkat borong dan runcit," katanya.
#harga barang #KPDNHEP #Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia #kenaikan harga barang
;