Skim Harga Maksimum Hari Raya Puasa berkuat kuasa Rabu ini - KPDNHEP
Umavathi Ramayah
April 19, 2021 16:59 MYT
April 19, 2021 16:59 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 berkuat kuasa 21 April hingga 20 Mei ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia adalah sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang akan disambut pada 13 Mei ini.
"Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Hari Raya Puasa adalah selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, ketika hari perayaan, dan tujuh hari selepas hari perayaan," katanya dalam sidang media di sini, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kementeriannya telah mengenal pasti 12 jenis barangan termasuk ayam, daging, telur dan ikan bagi pelaksanaan skim kawalan harga berkenaan.
Beliau memberitahu, harga maksimum pengeluar, pemborong dan peruncit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan kos dan trend harga semasa.
"Kita menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun 2020 dan pada bulan Januari sehingga April 2021 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan," jelasnya.
[TERKINI] Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga tanpa alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan.
"Sekiranya kita mendapati peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah, KPDHNEP akan mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018," jelasnya.
Selain itu katanya, notis di bawah Seksyen 21 Akta turut dikeluarkan dan akan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakan mereka itu.
#KPDNHEP
#skim kawalan harga
#SHMMP
#skim harga maksimum
#Musim Perayaan Hari Raya Puas
#menteri
#Alexander Nanta Linggi
#Harga Ayam
#Ramadan
#Aidilfitri
#daging
#telur