Skim Harga Maksimum Aidilfitri dilanjut empat hari lagi
Astro Awani
April 28, 2022 15:35 MYT
April 28, 2022 15:35 MYT
JOHOR BAHRU: Kerajaan melanjutkan tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa (HRP) 2022, selama empat hari lagi berikutan permintaan ramai.
Skim itu yang bermula 26 April lalu sepatutnya tamat pada 6 Mei namun dilanjutkan sehingga 10 Mei nanti.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata langkah itu diambil selepas pihaknya mendengar rayuan daripada masyarakat untuk melanjutkan tempoh SHMMP HRP.
"Kita terima aduan merayu kalau boleh dipanjangkan Skim Harga Maksimum musim perayaan ini sebab sekarang dikuatkuasakan 26 April, hingga 6 Mei hanya tinggal dua hari lepas hari raya sekarang.
"Kita panjangkan empat hari sehingga 10 Mei sebab beberapa hari lepas Aidilfitri masih beli belah, jadi kita panjangkan empat hari, sambung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika lawatan di Stesen Minyak Petronas di Jalan Lingkaran Dalam, di sini hari ini.
Pada 21 April lalu, sebanyak 22 jenis barangan dilaporkan ditetapkan dijual pada harga maksimum SHMMP HRP membabitkan barangan bagi kategori hasil laut, barangan kering, daging lembu dan kerbau serta sayuran.
Turut dikuatkuasakan dalam SHMMP HRP adalah enam barangan harga terkawal bagi penentuan harga ayam dan telur ayam yang ditetapkan sebelum ini.
Senarai barangan dikawal membabitkan daging lembu tempatan, daging lembu import daging kerbau import, ikan kembung, ikan selayang dan beberpa jenis sayuran.