Skim harga maksimum: 30 dikompaun di Terengganu dalam masa 6 hari
Nur Fazlizai Ali
April 28, 2021 08:56 MYT
April 28, 2021 08:56 MYT
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 30 kompaun dikeluarkan kepada peniaga di negeri ini dalam tempoh enam hari pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 mulai 21 April lalu.
Daripada jumlah itu, 13 dikenakan kompaun membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga, manakala 10 kes dikesan menggunakan alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan.
Terdapat juga kes melibatkan kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditetapkan.
Perkara itu didedahkan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu Saharuddin Mohd Kia pada Selasa.
Menurutnya, kompaun yang dikeluarkan itu hasil daripada pemeriksaan di 453 premis sejak pelaksanaan SHMMP.
Katanya, sebelum tindakan kompaun diambil, pihaknya memberikan amaran terlebih dahulu, namun ada antara peniaga yang masih ingkar.
Justeru, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana peniaga yang dikesan melakukan kesalahan itu demi menjaga hak pengguna serta berlaku adil kepada peniaga yang berjaya mematuhi pelaksanaan skim ini.
Saharuddin berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP Terengganu dan pegawai pemantau harga (PPH).
Selain itu, pihaknya turut bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti polis, tentera, Rela, Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan.
#puasa
#polis
#hari raya
#peniaga
#kompaun
#alat timbang sukat
#kesalahan
#tanda harga
#barangan harga terkawal
#harga maksimum
#SHMMP
#Hari Raya Puasa