Skim gaji baharu penjawat awam akan diumum sebelum akhir 2024 - PM

Bernama
November 7, 2023 00:24 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) Tahun 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata skim gaji baharu untuk penjawat awam akan diumum sebelum akhir tahun hadapan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beberapa garis panduan akan disediakan sebelum akhir tahun ini atau suku pertama 2024 agar skim gaji baharu itu dapat diumumkan sebelum akhir tahun hadapan.
Beliau berkata sebelum ini tiada kajian menyeluruh mengenai skim gaji penjawat awam dilakukan namun kerajaan ketika ini sedang melaksanakannya melalui Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
"Dasar kita selama ini ada kajian penyelarasan gaji setiap 10 tahun, ini nak mencecah masuk ke tahun ke-12.
"Sebelum ini tidak ada satu kajian menyeluruh tetapi sekarang saya dah umumkan (Kajian SSPA), kita akan lakukan," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian pada majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed dan Ketua Pengarah Mampu Datuk Rodzi Md Saad.
Perdana Menteri berkata kerajaan mengumumkan pemberian Bayaran Insentif Awal SSPA sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta bayaran insentif RM1,000 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen memandangkan kajian itu mengambil masa kerana melibatkan semua jabatan.
Beliau mengumumkan perkara itu semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt lepas dan bayaran insentif terbabit akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari tahun hadapan.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan merencanakan dasar yang jelas tertumpu ke arah mengangkat martabat ekonomi serta kesejahteraan rakyat dan negara dalam usaha mengubah keadaan ekonomi Malaysia supaya ada anjakan.
-- BERNAMA
#skim gaji baharu #penjawat awam #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Menteri Kewangan
;