Skim cepat kaya: Seorang lagi suspek skim 'Highway Group' ditahan

Astro Awani
Ogos 5, 2016 13:03 MYT
ACRYL SANI: Polis masih memburu 15 lagi individu yang terbabit dengan penipuan itu.
Polis menahan seorang lagi suspek dipercayai terbabit dalam skim pelaburan cepat kaya 'Highway Group' melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM50 juta.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, ketika ditahan, lelaki berusia 46 tahun yang berasal dari Kelantan itu dipercayai sedang bersiap untuk melarikan diri ke luar negara.
"Semasa tangkapan dilakukan, suspek menyorok dalam bilik di sebuah kondominium dekat Sri Hartamas sedang bersiap untuk lari ke luar negara.
"Suspek yang juga seorang guru berperanan sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat itu," katanya dalam kenyataan.
Operasi terhadap kegiatan kumpulan ini dimulakan sejak lima bulan lalu dan setakat ini polis sudah menahan 16 individu.
Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.
Tambah Acryl Sani, polis masih memburu 15 lagi individu yang terbabit dengan penipuan itu dengan identiti mereka sudah dikenal pasti.
Bulan lalu, polis menahan 15 individu, termasuk seorang pelakon tempatan dan dua lelaki bergelar Datuk Seri dan Datuk yang juga dalang skim pelaburan haram itu dalam beberapa siri serbuan di seluruh negara.
Hasil siasatan, kumpulan terbabit dipercayai memperdaya kira-kira 500 ribu pelabur di seluruh negara, termasuk Brunei, dengan keuntungan mencecah RM50 juta.
#Acryl Sani Abdullah Sani #akta pencegahan jenayah #highway group #PDRM #polis #skim cepat kaya
;