Skim Bantuan Sewa Sarawak, inisiatif bantu anak muda dalam perancangan kewangan

Astro Awani
November 9, 2020 21:56 MYT
Iskandar berkata, bantuan ini dilihat mampu meringankan beban perbelanjaan sekali gus membantu golongan ini memulakan perancangan sebelum membeli rumah sendiri. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Skim Bantuan Sewa Sarawak berjumlah RM200 yang ditawarkan Kerajaan Negeri Sarawak kepada golongan berpendapatan rendah dilihat mampu membantu golongan muda memulakan kehidupan di bandar.
Malah bantuan ini dilihat mampu meringankan beban perbelanjaan sekali gus membantu golongan ini memulakan perancangan sebelum membeli rumah sendiri.
Menurut Penolong Setiausaha Agung, Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak, Iskandar Sharkawi, dengan bantuan yang ditawarkan selama tiga tahun ini, anak muda akan mampu memiliki simpanan sendiri terutama bagi mereka yang baru menamatkan pengajian.
“Alhamdullillah, saya rasa bantuan ini sangat baik bagi anak muda kerana dengan tempoh yang ditawarkan selama tiga tahun, mereka boleh melakukan perancangan yang baik untuk masa depan mereka.
“Bayangkan kalau mereka menyewa sebuah bilik di Kuching berada dalam anggaran RM200, ini rasanya sudah mencukupi sebelum mereka merancang membeli rumah sendiri,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI menerusi slot AWANI Sarawak.
Menerusi Belanjawan Negeri Sarawak 2021 yang dibentangkan pada Isnin, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan inisiatif tersebut dengan peruntukan RM48 juta.
Ia sebagai usaha membantu golongan berpendapatan rendah dalam mengurangkan kos sara hidup.
Inisiatif ini juga diumumkan bagi mengurangkan jumlah kemiskinan bandar dan bakal memberi manfaat kepada 20,000 isi rumah yang layak memohon.
#Skim Bantuan Sewa Sarawak #mengurangkan kos sara hidup #kerajaan negeri Sarawak #Belanjawan Negeri Sarawak 2021 #Abang Johari Tun Openg #inisiatif bantu anak muda #perancangan kewangan
;