Skim baharu tangani isu beras diumum minggu ini - Mohamad Sabu
Umavathi Ramayah
Mac 19, 2024 13:09 MYT
Mac 19, 2024 13:09 MYT
KUALA LUMPUR: Satu skim baharu bagi menstruktur semula industri padi dan beras tempatan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah bekalan beras negara akan diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perincian mengenai skim berkenaan akan diumumkan dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.
Beliau memberitahu, ketika ini kementeriannya sedang giat mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh termasuk petani dan persatuan peladang bagi mengumpul maklumat bagi menjayakan skim baharu berkait hal ehwal padi dan beras tempatan.
"Kita sedang melakukan libat urus secara intensif bersama petani dan persatuan peladang. Semua memberi pandangan masing-masing. Semua itu kita akan umumkan dalam dua tiga hari ini mengenai satu skim baharu. Ia satu (pelan tindakan) jangka panjang yang lebih kepada penstrukturan semula industri beras dan padi negara.
"Semuanya akan kita buat libat urus termasuk dengan ahli Parlimen supaya semua memberi pandangan kerana ini masalah negara, bukannya parti mana, bukan masalah kaum.
“Tetapi jangka panjangnya yang lebih kepada penstrukturan semula industri beras dan padi negara dan semuanya terlibat termasuk dengan ahli Parlimen supaya semua memberi pandangan kerana ini masalah negara, bukannya parti mana, bukan masalah kaum yang memerlukan tuntutan bersama,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang mahu KPKM menjelaskan langkah luar biasa bagi menangani isu bekalan beras putih tempatan (BPT) yang sukar didapati di pasaran ketika ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, situasi itu akan berterusan sekiranya kerajaan tidak mencukupkan stok beras negara dan itu sebabnya KPKM merancang tindakan menyusun semula industri beras dan padi negara.
Katanya, pengeluaran BPT hanya 62 peratus beras di Malaysia manakala pihak seperti zakat, kontrak kerajaan, hospital, balai polis, sekolah, asrama dan sebagainya menggunakan BPT, menyebabkan yang tersedia untuk edaran tinggal kira-kira 50 peratus.
"Masalah bekalan menjadi masalah buat sementara dan kita kena susun semula. Penyusunan industri beras dan padi ini dilakukan pada 1980-an dahulu yang mana lahirnya Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan sebagainya.
"Tahun ini, kita akan buat penyusunan baharu dan akan diumum tidak lama lagi," katanya.