Skandal tanah RM155 juta: Pemimpin parti pembangkang Sabah ditahan reman

Ruzaini Zulkepli
Januari 6, 2018 13:20 MYT
Pemimpin politik berpangkat Datuk itu hadir di Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 11.15 pagi hari ini dengan diiringi oleh sepasukan pegawai SPRM Sabah. - Astro AWANI
Seorang pemimpin kanan parti politik pembangkang di Sabah direman tiga hari bermula hari ini sehingga 8 Januari hadapan berhubung kes urusan pembelian tanah ladang sawit bernilai kira-kira RM155 juta di Tongod.
Majistret Cindy Mc Juce Balitus membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili Pegawai Pendakwanya; Khairudin Kilau.
Terdahulu, pemimpin politik berpangkat Datuk itu hadir di Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 11.15 pagi hari ini dengan diiringi oleh sepasukan pegawai SPRM Sabah.
Beliau kemudiannya keluar dari kamar Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada jam 12.16 tengah hari tadi.
Perintah tahanan reman itu diminta bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17A Akta SPRM 2009.
Terdahulu, pemimpin parti pembangkang itu hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah pada jam 10.25 pagi Jumaat bagi membantu siasatan urus niaga pembelian tanah di Tongod bernilai RM155 juta beberapa tahun lalu.
Ini berikutan tindakan SPRM memberi tempoh 48 jam pada Rabu lalu kepadanya dan seorang lagi individu untuk menyerah diri dan memberikan kerjasama berhubung siasatan kes pembelian tanah berkenaan.
#Kota Kinabalu #mahkamah #pembangkang #siasatan #SPRM
;