Skandal Tanah Kampung Sungai Yu, SPRM jangka panggil lebih ramai saksi

Astro Awani
Disember 18, 2017 20:38 MYT
SIMI memberitahu setakat ini, 15 termasuk exco kerajaan negeri Selangor dipanggil bagi membantu siasatan. - Gambar Astro AWANI
Seramai 15 individu termasuk seorang exco kerajaan negeri Selangor telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung skandal tanah di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.
Menurut sumber, kesemua mereka yang dipanggil untuk merakam percakapan adalah saksi-saksi daripada Pejabat Daerah dan Tanah, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat), wakil-wakil penduduk serta kuil.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lagi individu yang akan dipanggil untuk dirakam percakapan bagi tujuan mengumpul bukti serta melengkapkan kertas siasatan.
Menurutnya, pasukan penyiasat juga masih dalam proses meneliti dokumen-dokumen yang telah diambil daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan beberapa ahli Exco minggu lalu.
"Kita masih dalam proses mengumpul bukti-bukti dan maklumat-maklumat bagi membantu siasatan," ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Sebelum ini, Selcat mengesahkan wujudnya pelanggaran syarat dalam skandal berkenaan.
Siasatan ke atas kes itu dibuka semula setelah SPRM memperoleh bukti-bukti baharu berkaitan dengan skandal terbabit, yang melibatkan tanah seluas 14.4 hektar.
#bukti #Exco #haram #Kajang #Kampung Sungai Yu #kerajaan #Kuala Selangor #operasi #Rasuah #siasatan #Skandal Tanah Kampung Sungai Yu #SPRM
;