Skandal RM14.9 juta: Mahkamah tetapkan perbicaraan kes rumah pelacuran mulai 19 Feb
Ruzaini Zulkepli
Januari 10, 2018 12:44 MYT
Januari 10, 2018 12:44 MYT
Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 19 hingga 22 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan kes dua lelaki yang dituduh terbabit menguruskan rumah pelacuran di sebuah hotel di sini.
Ia susulan pembongkaran Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah yang berjaya menemukan wang tunai RM14.9 juta pada 24 November lalu.
Penetapan perbicaraan berkenaan ke atas kedua-dua tertuduh, Tay Tian Chuan, 46 tahun, dan Tay Leong Hee, 53 tahun, dilakukan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz.
Azreena dalam pada itu turut menetapkan 7 Februari depan sebagai tarikh pengurusan kes lanjutan.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela Datuk Chaw Chin Tang dan Adrian Cham Chee Kong manakala pendakwaan dikendalikan Norbert Chin.
Pada hari perbicaraan kelak, beberapa saksi akan dipanggil untuk membuktikan kes berkenaan.
Terdahulu hari ini, dua tertuduh yang diikat jamin RM20,000 setiap seorang pada 29 Disember tahun lalu hadir ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada jam 10.30 pagi dan beredar kira-kira sejam selepas itu.
Mengikut fakta pertuduhan, kedua-dua mereka disyaki menguruskan rumah pelacuran di tingkat dua sebuah hotel di bandar ini dalam serbuan JIM Sabah pada jam 8.44 malam, 23 November lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 373 (1)(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Dalam serbuan di sebuah hotel dan pangsapuri di Jalan Api-Api 24 November lalu, JIM Sabah menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri dipercayai dalang sindiket pelacuran selain menangkap 17 wanita warga Filipina yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral menerusi operasi Op Gegar kira-kira jam 1 pagi.
Wang tunai bernilai RM14.9 juta turut ditemukan ketika serbuan berkenaan.
Berdasarkan siasatan awal, hotel yang diserbu itu beroperasi sejak tahun 1999 lagi.
Siasatan turut mendapati, wang tunai yang dirampas mempunyai tarikh cetakan tahun 2008.