Skandal RM13.5 juta: Isteri salah seorang suspek ditahan

Ruzaini Zulkepli
November 28, 2017 14:44 MYT
MUSTAFAR berkata wanita itu dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti tidak bermoral dan penemuan wang tunai RM13.5 juta di Sabah.
Seorang wanita ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah bagi membantu siasatan berhubung penangkapan wanita warga Filipina dan rampasan wang tunai berjumlah RM13.5 juta tengah hari ini.
Suspek wanita dipercayai isteri daripada salah seorang daripada tiga suspek yang ditahan sebelum ini ditahan sebuah pangsapuri di Jalan Api-Api, di sini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penahanan wanita berusia 46 tahun itu menjadikan jumlah keseluruhan yang ditangkap pihaknya adalah seramai 21 orang termasuk 17 daripadanya wanita warga Filipina.
"Wanita ini ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan tersebut bersama suaminya dan dua lagi rakan mereka dalam aktiviti tidak bermoral dan penemuan wang jutaan ringgit berkenaan.
"Malah, kita tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan lain selepas ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM Sabah di sini pada Selasa.
Hadir sama adalah Pengarah JIM Sabah, Musa Sulaiman.
BACA: Skandal RM13.04 juta: Pasukan Khas JIM mula panggil saksi
BACA: Imigresen tubuh pasukan khas siasat penemuan RM13.04 juta di Sabah
BACA: Selain penemuan RM11 juta, 19 individu ditahan dalam Op Gegar
BACA: Sabah: RM11 juta ditemui ... Milik siapa?
Pada 24 November lalu, JIM Sabah menahan tiga individu dipercayai dalang sindiket pelacuran selain menangkap 17 wanita warga Filipina yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral menerusi operasi Op Gegar kira-kira jam 1 pagi.
Dalam serbuan di sebuah hotel dan pangsapuri di Jalan Api-Api itu, JIM Sabah turut menemui wang tunai berjumlah RM13.5 juta.
Dalam pada itu, Mustafar berkata, pihaknya masih melakukan siasatan menyeluruh berhubung penemuan wang sebanyak RM13.5 juta.
Kata beliau, berdasarkan siasatan awal, hotel yang diserbu itu beroperasi sejak tahun 1999 lagi manakala dari segi wang tunai yang dirampas ada antaranya bertarikh sejak tahun 2008. Namun kita masih menyiasat dari mana punca wang itu diperolehi.
"Selain Akta Imigresen, kes terbabit turut melibatkan Kanun Prosedur Jenayah serta Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya.
Ditanya sama ada kes itu melibatkan individu kenamaan termasuk pemimpin politik, Mustafar bagaimanapun denggan mengulas lanjut.
#Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram #Anti Pemerdagangan Orang #Anti Penyeludupan Migran 2007 #haram #Imigresen #jenayah #keganasan #migran #Mustafar Ali #operasi #pemerdagangan orang #politik #siasatan #sindiket
;