Skandal LCS: Rafizi akan dipanggil berhubung hantaran kaitkan Abdul Latiff - Polis
Umavathi Ramayah
Ogos 31, 2022 16:16 MYT
Ogos 31, 2022 16:16 MYT
KUALA LUMPUR: Polis akan memangggil Rafizi Ramli untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial miliknya yang didakwa berbaur fitnah dan jelik terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Timbalan Presiden PKR itu sebelum ini mengaitkan Abdul Latiff dengan skandal perolehan projek kapal tempur pesisir (LCS).
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kertas siasatan ke atas Rafizi dibuka selepas polis menerima laporan daripada salah seorang pegawai Tugas-tugas Khas kepada menteri berkenaan pada Selasa.
Beliau memberitahu, berdasarkan siasatan, polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada 22 Ogos lalu kira-kira pukul 12 tengah hari.
"Semasa pengadu berada di Residensi Harmoni 2 Segambut, Kuala Lumpur telah terbaca satu hantaran melalui blog rafiziramli.com berkenaan dengan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh Rafizi yang mengandungi pembohongan dengan tujuan untuk merosakkan nama baik menteri berkenaan.
"Pengadu turut menafikan dakwaan bahawa menteri tersebut mempunyai isteri kedua yang mendapat kontrak pertahanan yang bernilai puluhan juta ringgit bagi LCS semasa beliau menjadi Timbalan Menteri (Pertahanan)," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Eng Lai berkata, hasil semakan mendapati kenyataan berkenaan disiarkan di laman web rafiziramli.com selain di Facebook Rafizi www.facebook.com/rafiziramli.keadilan dan di laman Twitter Rafizi
twitter.com/rafiziramli pada beberapa tarikh yang berasingan.
Pada masa sama katanya, sebuah video yang berkaitan juga disiarkan melalui akaun TikTok dan Instagram @rafiziramli pada tarikh 25 Ogos lalu.
Beliau memberitahu, ahli politik PKR itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaaan kerana kesalahan memfitnah.
Katanya, Rafizi juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 kerana menyebarkan kenyataan jelik.