Skandal LCS: Cadangan tubuh RCI telah dibawa ke Kabinet - Hishammuddin

Irwan Muhammad Zain
Ogos 17, 2022 19:07 MYT
Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) telah dikemukakan ke mesyuarat Kabinet hari ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) telah dikemukakan ke mesyuarat Kabinet hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara tersebut juga telah dibincangkan oleh Jemaat Menteri.
"Seperti yang telah saya janjikan kepada Dewan Negara semalam, saya telah membawa ke mesyuarat kabinet tentang penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung projek LCS.
"Ianya masih dalam proses melibatkan semua pihak khususnya menteri-menteri dan saya tidak boleh dedahkan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
"Tetapi cadangan penubuhan RCI ini juga mesti disembah ke Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan pandangan dan perkenan baginda.
"Saya janji kepada Dewan Negara untuk bawa ke Kabinet dan telah pun saya lakukan," katanya dalam sidang media selepas Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kementerian Pertahanan dan Sambutan Jubli Emas Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
Diminta mengulas mengenai pendakwaan terhadap bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berkaitan dana syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd, Hishammuddin yakin pihak berkuasa telah menjalankan siasatan sewajarnya.
Hishammuddin menjelaskan, beliau tetap dengan pendirian bahawa siapa sahaja termasuk dirinya jika bersalah akan tetap bersalah.
"Seperti saya sebut dahulu lagi, pendirian saya konsisten, siapa saja yang salah tetap salah termasuk diri saya sendiri.
"Dalam kita mahu mencari keadilan, saya harap bahawa segala proses mesti dijalankan dan saya percaya pihak berkuasa telah pun buat siasatan berhubung kait dengan individu yang didakwa semalam.
"Kemungkinan ada lagi mereka yang dalam siasatan, itu saya serah kepada SPRM dan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.
"Bagi saya apa perkara yang ada kaitan dengan penyelewengan, salah guna kuasa atau sekiranya unsur-unsur rasuah akan tetap kita dapat keadilan.
"Jika ada yang perlu didakwa tidak siapa harus terkecuali kalau proses mendapati cukup bukti untuk didakwa," katanya lagi.
#skandal LCS #RCI #Suruhanjaya Siasatan Diraja #Hishammuddin Hussein
;