Skandal hartanah Johor: Empat individu dibebas dengan jaminan SPRM hari ini

Astro Awani
Mac 9, 2017 11:11 MYT
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor, Saba'aton Daud membenarkan keempat-empat individu berkenaan dibebaskan setelah ditahan reman maksimum 14 hari sejak 25 Februari lepas. - Gambar hiasan
Empat individu termasuk seorang anak dan pegawai khas kepada Exco Kerajaan Negeri Johor yang dikaitkan dengan skandal rasuah hartanah Johor dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor, Saba'aton Daud membenarkan keempat-empat individu berkenaan dibebaskan setelah ditahan reman maksimum 14 hari sejak 25 Februari lepas.
Kesemua individu yang juga terdiri daripada seorang peguam dan orang awam itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, biarpun kesemua individu dibebaskan, siasatan berkaitan kes penyelewengan dalam urusan hartanah dan perumahan negeri akan diteruskan.
Terdahulu, kesemua suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba di Mahkamah Johor Bahru kira-kira pukul 9.28 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.
Kesemua yang dibebaskan itu kemudian dibawa keluar dari pejabat penolong pendaftar pukul 9.45 pagi selepas prosedur pembebasan selesai.
Sementara itu, seorang kontraktor yang turut ditahan bagi membantu siasatan juga sudah dibebaskan dengan jaminan, Selasa lepas.
Dua lagi individu iaitu pemaju hartanah yang ditahan bersama-sama enam suspek lain telah dibebaskan pada 3 Mac lepas.
SPRM pada 24 Februari lalu menahan kesemua suspek lelaki berusia antara 25 hingga 50 tahun itu kerana disyaki bersubahat dalam pengurangan premium tanah yang diluluskan untuk projek-projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis-premis di Johor.
SPRM juga bertindak membekukan 45 akaun bank bernilai RM15.5 juta serta merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk matawang asing dan dokumen-dokumen bagi membantu siasatan.
#hartanah johor #Johor Bahru #mahkamah #pengurangan premium #Rasuah #SPRM
;