SK Putrajaya Presint 11(3) lahir robotik muda disegani di persada antarabangsa
Bernama
Mei 2, 2022 21:21 MYT
Mei 2, 2022 21:21 MYT
PUTRAJAYA: Bunyi mesin sedang berfungsi di sebuah bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 11(3) di sini tidak asing lagi ketika sesi kokurikulum berlangsung setiap minggu.
Suasana sedemikian kedengaran apabila murid yang menyertai Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11 (3) 'berlumba-lumba' menguji kemampuan robot dihasilkan menggunakan komponen lego serta melalui pengaturcaraan komputer.
Robot-robot ciptaan ahli kelab robotik itu mendapat tumpuan kerana pernah menyerlah di peringkat antarabangsa seperti merangkul empat pingat termasuk satu emas pada pertandingan Liga Robot Sedunia 2019 di Ulsan, Korea Selatan.
Guru penyelaras Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11(3) Siti Maryam Rahman berkata kelab tersebut disertai lapan murid tahun dua hingga enam yang terpilih selepas melalui ujian khas.
"Ujian perlu dilalui adalah asas pengaturcaraan komputer dan mencipta robot. Kita tidak boleh ambil murid dalam jumlah besar kerana set robot lego yang ada adalah terhad. Mereka akan cuba cipta robot terbaik untuk bersaing dalam pertandingan," katanya kepada Bernama.
Menurut Siti Maryam, ada bekas murid sekolah berkenaan yang pernah menjadi ahli Kelab Robotik SK Putrajaya Presint 11(3) masih berkecimpung dalam bidang robotik meskipun telah berada di sekolah menengah.
Guru Besar SK Putrajaya Presint 11(3) Hishammudin Ahmad pula berkata bagi mempertingkatkan lagi kemahiran robotik murid, pihaknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan International Robotics Educational Association (IREA) Korea Selatan.
"Melalui MoU ini, pihak IREA akan memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai pertandingan yang ada di Korea Selatan untuk kami sertai," katanya pengalaman ditimba daripada kejohanan besar akan memberi pendedahan luas kepada ahli-ahli kelab robotik sekolah itu.
Beliau berkata sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kelab robotik sekolah itu masih menyertai kejohanan termasuk peringkat antarabangsa antaranya Festival Liga Robot Sedunia 2020, walaupun bukan secara kehadiran fizikal.
Mohd Asraf Mohd Siraj yang juga guru penyelaras kelab itu berkata pelajar menyertai kelab robotik itu akan dibimbing bukan sahaja dari sudut pembelajaran robotik malah cara berkomunikasi dengan baik.
"Kita akan latih murid ini cara bertutur dengan baik kerana mereka akan bertemu pelajar antarabangsa lain... membaca, bertutur dan kemahiran menulis amat penting.
"Ketika sertai kejohanan di Korea Selatan, murid-murid ini mudah berkomunikasi dan menyesuaikan diri dengan murid antarabangsa lain... ini sesuatu yang membanggakan," katanya.
Seorang ahli kelab, Muhammad Hafiz Irfan Mohd Hafizal, 11, berkata penyertaan dalam kelab robotik sekolah membolehkannya bertemu ramai murid antarabangsa yang mahir dalam bidang tersebut.
"Saya bangga sebab dapat pergi ke luar negara untuk kejohanan robotik, kalau boleh saya ingin ajak ramai lagi rakan untuk sertai kelab ini," katanya yang menyertai kelab itu sejak tahun dua.
-- BERNAMA