SJR labuh tirai, Polis Pulau Pinang terus pantau kawasan tumpuan pelancong

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 10, 2021 05:30 MYT
SJR keluar dari bahagian pulau di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang ditutup tepat pukul 12 tengah malam tadi. -Astro AWANI
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang akan terus melakukan pemantauan di kawasan tumpuan pelancong di negeri itu susulan kebenaran merentas negeri bermula hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemantauan berterusan itu bagi memastikan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam membendung penularan COVID-19 meskipun sekatan jalan raya (SJR) sudah ditutup.
"Kita akan terus menguatkuasakan daripada segi pematuhan SOP, di mana kita akan pastikan mereka yang lengkap vaksinasi boleh merentas negeri dan mengunjungi kawasan tumpuan.
"Kita akan buat pemantauan di kawasan tumpuan, macam di George Town ini ada banyak lokasi menarik, seperti pantai, pusat pelancongan dan sebagainya.
"PDRM akan kuat kuasakan pematuhan di lokasi berkenaan agar orang awam lebih mematuhi disiplin dan SOP ditetapkan.
"Kita akan tambah pasukan pemantau. Kita juga akan buat pemeriksaan secara rawak agar (hanya) mereka yang dibenarkan merentas daerah atau negeri," kata Soffian.
Sementara itu, berkongsi pengalaman sepanjang lima bulan penugasan SJR bagi mengawal pergerakan orang ramai antara daerah, Soffian berkata, pelbagai kisah suka duka terpaksa dilalui anggota bertugas yang terpaksa berpanas dan berhujan semasa bertugas.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua anggota Polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) yang sentiasa komited dengan tanggungjawab masing-masing.
"Kepada orang ramai juga, PDRM ucap terima kasih atas kerjasama baik yang sanggup bersesak, sanggup tempuh jam apabila SJR dibuat dengan pemeriksaan dokumen seumpamanya.
"Walaupun ada suara sumbang tapi inilah tanggungjawab bersama. Saya ucapkan terima kasih.
"Ya, kita tak nafikan pelbagai kerenah, pelbagai asam garam yang kita lalui sepanjang tempoh lima bulan ini, namun ini merupakan satu pengajaran dan pengalaman yang pihak PDRM tidak akan lupakan," kata Soffian lagi.
Beliau berkata demikian selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) keluar dari bahagian pulau di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang yang ditutup tepat pukul 12 tengah malam tadi.
#Soffian Santong #SJR #kawasan tumpuan pelancong #pemeriksaan secara rawak
;