SJR Bergerak: Polis Dang Wangi fokus lapan lokasi dalam bandar
Hasimi Muhamad
Jun 1, 2021 14:26 MYT
Jun 1, 2021 14:26 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Daerah Dang Wangi memfokuskan lapan lokasi tumpuan di sekitar ibu negara bagi melaksanakan Sekatan Jalan Raya (SJR) bergerak dalam tempoh Fasa Pertama 'total lockdown' yang berkuatkuasa hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sepanjang sekatan tersebut tiga aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditekankan termasuk memastikan individu yang keluar rumah memiliki surat kebenaran.
Selain itu, Mohamad Zainal menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar kapasiti dua orang di dalam kenderaan persendirian kecuali melibatkan isu perubatan atau kecemasan.
"Untuk tujuan tersebut, kita telah menasihatkan orang ramai bahawa tidak ada lagi masa (nasihat) kerana kita telah berada dalam normal baharu melebihi setahun.
"Jadi kita terus akan mengambil tindakan yang tegas. Kita menasihatkan orang ramai supaya peka dengan SOP yang telah ditetapkan.
"Jangan sesekali kita menggunakan alasan bahawa tidak tahu dengan SOP yang telah dikuatkuasakan," katanya kepada Astro AWANI selepas membuat tinjauan SJR di sekitar ibu negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Zainal berkata sekitar 200 kenderaan diperiksa dalam tempoh dua jam di setiap lokasi SJR bergerak dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan setakat ini.
Selain SJR bergerak, Mohamad Zainal berkata pemeriksaan mengejut akan turut dilakukan di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.
"Kita di Daerah Dang Wangi akan melakukan pemeriksaan mengejut pada bila-bila masa pada waktu bekerja ini untuk memastikan semua orang mematuhi arahan yang ditetapkan.
"Jika mereka ingkar, kita akan mengenakan kompaun tanpa nasihat termasuk di pejabat-pejabat kerajaan," katanya lagi.
Sebelum ini kerajaan menetapkan 80 peratus kakitangan awam, manakala 40 peratus pekerja sektor swasta perlu bekerja dari rumah sepanjang 'total lockdown'.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengerahkan 55,000 anggota bagi melaksanakan 800 SJR di seluruh negara.
#SJR PKP 3 0
#MCR 3 0
#Sekatan jalan raya COVID-19
#Mohamad Zainal Abdullah
#Covid-19 Malaysia
#total lockdown
#ingkar SOP
#Kapasiti dalam kenderaan
#SJR